
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, diskaun untuk semua perjalanan domestik itu dicapai selepas perbincangan Putrajaya dengan syarikat penerbangan negara itu.
“Tarikh tempahan bermula 9 Julai hingga 10 Ogos untuk perjalanan mulai 10 Julai hingga 30 Nov ini.
“Diskaun boleh diperoleh melalui tempahan dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada MAB dan menggesa syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan harga tiket mereka.
Tak perlu kuarantin
Ismail berkata, rakyat Malaysia yang mahu ke atau balik dari Sabah dan Sarawak tidak perlu menjalani kuarantin rumah, tetapi ada sesetengah individu yang akan disaring secara rawak setibanya di lapangan terbang.
Katanya, mereka yang pulang dari luar negara tetap perlu menjalani kuarantin rumah sekembalinya ke tanah air.
Sambutan Hari Kebangsaan
Ismail berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung sambutan atau perarakan sempena Hari Kemerdekaan pada bulan depan.
“Kalau lihat kepada sambutan itu, ia melibatkan himpunan besar beribu (orang) datang, jadi kita bimbang penjarakan sosial sukar dipatuhi. Kalau kerusi VIP itu mungkin boleh kita jarak, tapi orang ramai susah hendak kawal.
“Setakat ini, belum ada dalam senarai, tapi sambutan itu boleh dilakukan dengan cara lain, yang tidak melibatkan himpunan ramai. Perkara itu menteri komunikasi dan multimedia akan perincikan nanti, program mana dibenar dan tidak dibenar.”