
Kementerian Pendidikan Tinggi berkata tidak memandang ringan penularan influenza dan memantau rapi perkembangan.
Menteri Zambry Abd Kadir berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat tentang penularan influenza di IPT, setakat ini.
“Seperti yang kita sedia maklum penyakit ini mungkin melibatkan peringkat sekolah, tetapi kita juga tidak mengambil mudah perkara itu,” katanya lapor Bernama, selepas merasmikan penutupan ‘International Young Future Leaders Summit 2025’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Perkembangan ini rentetan laporan terkini yang menyatakan 6,000 murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan dijangkiti influenza setakat ini.
Turut dilaporkan beberapa sekolah di beberapa buah negeri diarah tutup sementara oleh Pejabat Kesihatan Daerah.
Khamis lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.