
Presiden Pengasih Ramli Abdul Samad berkata, adalah tidak wajar untuk terus melabel dan mengkategorikan penagih dadah sebagai penjenayah memandangkan tidak semua mereka mempunyai kesalahan jenayah.
“Saya menyeru kerajaan supaya melihat semula Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan Dadah) sebab akta yang ada pada masa ini agak terlalu lama. Penagih di Malaysia malangnya masih dilihat sebagai penjenayah.
“Kita sendiri sudah buktikan bahawa kalau mereka (penagih) diberikan peluang, diberikan rawatan dan pemulihan yang sewajarnya, mereka boleh pulih dan menjadi aset negara,” katanya sewaktu ditemui pemberita di pejabat Pengasih di sini, hari ini.
Pada Jun tahun lepas, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), gabungan politik berkenaan merancang untuk tidak lagi menjadikan penggunaan dadah sebagai kesalahan jenayah.
Ia turut menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta ketua setiausaha negara bagi mengkaji perkara berkenaan.
Antara lain jawatankuasa itu dilaporkan membincangkan isu perbezaan antara penagih dan pengedar dadah serta kaedah bagi membantu mereka yang terbabit dengan masalah penagihan dadah bagi menggantikan hukuman penjara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri dilaporkan berkata, pihaknya mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) daripada didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 bagi memberi peluang kedua kepada penagih yang pulih serta dibebaskan daripada pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ramli berkata, tindakan mengkategorikan penagih dadah sebagai penjenayah secara tidak langsung akan memusnahkan masa hadapan mereka memandangkan individu yang disabitkan atas kesalahan jenayah tidak layak untuk berkhidmat dengan kerajaan.
“Seandainya mereka ditangkap menggunakan undang-undang sedia ada, mereka akan terus dikategorikan sebagai penjenayah.
“Maka akan habis masa hadapan mereka, sebagai contoh 2 hari lepas anak bekas seorang menteri ditangkap hanya kerana menggunakan ganja dan dikenakan hukuman 8 bulan penjara,” katanya, merujuk kepada keputusan Mahkamah Majistret di sini yang menjatuhkan hukuman itu ke atas anak bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu kerana penyalahgunaan dadah.