4 dituduh bunuh anggota polis

4 dituduh bunuh anggota polis

Sebelum ini media melaporkan seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah yang cuba melarikan diri pada 7 Ogos lalu.

Empat tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ IPK Kedah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf di sini.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara atau maksimum 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah Khairul Anuar Abdul Halim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes bagi sebutan semula di Mahkamah Tinggi, menurut Harian Metro.

Sebelum ini media melaporkan seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika sedang menjalankan tugas menahan suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diri berhampiran Taman Golf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.