Orang awam boleh tangkap suspek tapi jangan melampau, kata peguam

Orang awam boleh tangkap suspek tapi jangan melampau, kata peguam

Kekerasan yang munasabah dibenarkan tetapi sebarang tindakan yang melampau boleh dianggap satu jenayah.

handcuff
Orang awam ada tanggungjawab moral untuk menghalang tindakan jenayah tetapi penggunaan kekerasan mesti dalam batas munasabah dan mengikut undang-undang, kata peguam Baljit Singh.
PETALING JAYA:
Undang-undang Malaysia membenarkan orang awam melakukan tangkapan terhadap individu yang melakukan jenayah, namun hanya dengan penggunaan kekerasan yang munasabah, kata seorang peguam.

Baljit Singh berkata, Seksyen 27 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada warganegara untuk menangkap individu yang didakwa melakukan jenayah, dengan syarat kesalahan itu tidak boleh dijamin dan boleh ditangkap serta dilakukan di hadapan individu yang membuat tangkapan.

Kesalahan tidak boleh dijamin merujuk kepada kesalahan di mana jaminan tidak diberikan secara automatik, manakala kesalahan boleh ditangkap membolehkan polis membuat tangkapan tanpa waran.

Kedua-dua kategori ini biasanya melibatkan jenayah serius seperti pembunuhan, rogol, rompakan dan pengedaran dadah.

“Individu yang membuat tangkapan perlu menyerahkan suspek kepada pihak polis tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar,” katanya.

Baljit berkata, orang awam mempunyai tanggungjawab moral untuk mencegah jenayah, namun sebarang penggunaan kekerasan mesti dalam batas yang sah dan munasabah.

Katanya, kekerasan yang digunakan mesti sepadan dengan ancaman dan perlu dalam keadaan tertentu.

“Tiada sesiapa dibenar meletakkan undang-undang di tangan sendiri,” katanya.

Beliau mengulas insiden pada 27 Julai lalu di mana seorang lelaki berusia 51 tahun dilaporkan maut selepas dipukul orang awam kerana didakwa berkelakuan lucah di tempat awam. Tujuh individu ditahan dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Lima hari sebelumnya, seorang lagi lelaki maut akibat dipukul orang awam yang melihat dia merompak seorang guru tadika di Cheras. Lapan lelaki ditahan dalam kes yang turut diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Baljit berkata pihak pendakwaan perlu membuktikan peranan setiap individu yang terlibat, termasuk siapa yang menyebabkan kecederaan maut.

Sementara itu, peguam Kitson Foong berkata sebarang kelakuan atau tindakan di luar batas undang-undang boleh dianggap sebagai tindakan ‘vigilante’ (melaksanakan undang-undang sendiri).

Katanya, individu yang melakukan tangkapan orang awam ada hak mempertahankan diri sekiranya suspek memiliki senjata bahaya dan melawan.

“Tetapi anda tidak boleh bertindak keterlaluan atas alasan mempertahankan diri,” katanya.

Sebagai contoh, seseorang yang ingin menangkap suspek tidak seharusnya menggunakan senjata api melainkan dia terlebih dahulu melepaskan tembakan amaran.

“Jika dalam proses menangkap suspek anda dapati nyawa anda terancam, anda boleh menggunakan kekerasan yang munasabah untuk melucutkan senjata dan mempertahankan diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.