
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata sebelum kejadian, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu terserempak sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan, lalu mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.
“Suspek yang tidak memberikan kerjasama kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis sehingga berlaku berbalas tembakan dan menyebabkan kedua-dua lelaki itu maut di dalam kenderaan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menemukan dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang, dan beberapa peralatan dipercayai diguna untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka,” katanya menurut Bernama pada sidang media di lokasi kejadian.
Beliau berkata, seorang suspek yang berusia 41 tahun mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau, manakala identiti seorang lagi lelaki masih belum diketahui berikutan tiada pengenalan diri.
“Kita percaya mereka terlibat dalam satu kumpulan besar yang melakukan jenayah kekerasan di seluruh negara, antaranya melibatkan kes pengedaran dadah, gangsterisme, pecah kilang, dan samun. Kumpulan ini dipercayai mulai aktif sejak 2020.
“Setakat ini, Unit Forensik telah menjumpai tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Fadil Marsus, yang turut ke lokasi kejadian berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai sebahagian kumpulan terlibat pelbagai jenayah berat.
“Kita sedang siasat sama ada suspek-suspek ini terlibat dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor. Kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan polis akan mengambil tindakan lebih agresif,” katanya.