Polis tembak mati ketua penjenayah di Jalan Bukit Tunku

Polis tembak mati ketua penjenayah di Jalan Bukit Tunku

Suspek yang mempunyai 44 rekod jenayah itu dipercayai ketua kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan dadah.

Suspek ditembak mati pada 4.10 pagi tadi dalam satu operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama IPK Kuala Lumpur di Jalan Bukit Tunku. (Gambar Bernama)
Suspek ditembak mati pada 4.10 pagi tadi dalam satu operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama IPK Kuala Lumpur di Jalan Bukit Tunku. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai ketua satu kumpulan penjenayah samun dan pecah rumah dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Bukit Tunku pada awal pagi tadi.

Suspek berusia 36 tahun yang mempunyai 44 rekod jenayah termasuk dadah itu ditembak mati pada 4.10 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama IPK Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman Fadil Marsus berkata lelaki terbabit dikesan menaiki kereta jenis BMW di lokasi kejadian oleh pasukan berkenaan yang melakukan tugasan cegah jenayah.

“Ketika cubaan untuk memintas kenderaan tersebut, berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan suspek maut di tempat kejadian.

“Beberapa kesan tembakan turut dikesan pada kenderaan polis,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun, serta vest polis.

Semakan juga mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai diseludup masuk dari luar negara.

Fadil berkata siasatan awal menunjukkan kumpulan itu menyasarkan rumah kediaman dan premis perniagaan yang mempunyai peti besi, bar emas serta wang tunai, dan dipercayai turut menyamar sebagai anggota polis.

Menurutnya, kumpulan itu aktif dalam kegiatan pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak, melibatkan kerugian lebih RM1 juta.

“Kita percaya kumpulan ini juga terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan mempunyai belasan anggota. Usaha mengesan baki ahli kumpulan sedang giat dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.