
Menurut mereka, syarikat terbabit membayar kira-kira 15 jurulatih di cawangannya di Kuala Lumpur sebanyak RM3,000 sebulan.
Tiga daripada mereka yang bercakap dengan FMT berkata, potongan gaji itu bermula secara berperingkat, dengan elaun pengangkutan dan prestasi berjumlah RM400 ditarik balik ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada pertengahan Mac.
“Kami tak kisah elaun pengangkutan ditarik balik memandangkan kami tidak perlu menghadiri kelas secara langsung,” kata salah seorang daripada mereka.
“Kami diarahkan supaya menjalankan kelas secara atas talian, yang masih merupakan kerja. Kemudian pada 14 Mei, kami menerima memo yang mengatakan gaji akan dipotong sebanyak 50% bermula 1 Mei.
Apabila mereka membantah, beliau berkata, syarikat memberitahu bahawa mereka tidak menyumbang apa-apa ketika tempoh PKP.
“Potongan 50% daripada gaji berjumlah RM3,000 sangat banyak terutama bila anda ada sewa bernilai RM1,100 untuk dibayar,” katanya, sambil menambah bahawa pengurus dikecualikan daripada pemotongan gaji.
Beliau juga berkata kakitangan diarahkan mengambil beberapa hari cuti tahunan ketika PKP diumumkan buat pertama kali bagi membolehkan syarikat melaksanakan kerja “penyenggaraan”.
Kebenaran diperlukan
Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Industri dan Pekerjaan Majlis Peguam, P Jayasingam, berkata sebarang langkah potongan gaji tanpa persetujuan menyalahi undang-undang.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, potongan gaji hanya dibenarkan sekiranya kakitangan terbabit bersetuju.
Beliau berkata, kakitangan yang memperoleh pendapatan di bawah RM5,000 yang ingin mengekalkan pekerjaan mereka tetapi masih mendapat gaji penuh boleh membuat aduan kepada Jabatan Buruh.
Mereka yang berpendapatan RM5,000 perlu memfailkan tuntutan sivil terhadap syarikat untuk mendapatkan semula gaji penuh.
Jayasingam berkata, kakitangan juga boleh meletak jawatan sebagai protes dan menuntut untuk diambil bekerja semula dengan gaji penuh dibayar bermula dari hari mereka meletak jawatan.
“Namun mereka perlu menyatakan dengan jelas mereka meletakkan jawatan kerana tidak mendapat gaji penuh berikutan syarikat telah melanggar kontrak mereka,” tambahnya.
Dalam kes seperti itu, pekerja mesti meletak jawatan dengan segera dan failkan kes di Mahkamah Industri dalam tempoh 60 hari.
Untuk syarikat yang berdepan masalah kewangan katanya, mereka boleh memilih untuk memberhentikan kakitangan dengan syarat mereka memenuhi syarat yang ketat.
Ini termasuk membuktikan pekerjaan itu terlalu banyak dengan mengguna pakai prinsip “terakhir masuk, pertama keluar”.
Timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Majlis Perundangan Industri dan Pekerjaan Majlis Peguam Bernard Scott berkata, syarikat yang berdepan masalah berkaitan gaji perlu membincangkan sebarang potongan gaji dengan pekerja mereka.
“Penyesuaian bersama mungkin perlu dibuat terhadap syarat dan pendapatan pekerjaan,” katanya, sambil menambah pekerja yang berkeras untuk mengekalkan syarat semasa dalam kontrak mereka mungkin menyedari mereka akan kehilangan pekerjaan.
Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata, Jabatan Buruh harus memanggil syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk melihat jika mereka berdepan masalah untuk membayar gaji kakitangan.
Jika syarikat berkenaan dapat membuktikan mereka berdepan kesukaran, beliau berkata, kerajaan akan menawarkan bantuan kepada mereka.
“Sesetengah PKS memang terjejas. Jabatan Perangkaan melaporkan 53% daripada PKS akan berdepan masalah untuk membayar kakitangan mereka.
Namun Kula Segaran turut memberi amaran mengenai syarikat yang memotong gaji dengan menyalahkan pelaksanaan PKP.
“Pada realitinya, mereka hanya menutup kedai untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian.”