Kematian Covid-19 di AS lepasi 75,000 kes

Kematian Covid-19 di AS lepasi 75,000 kes

AS secara purata mencatatkan 2,000 kematian sehari sejak pertengahan April lalu.

WASHINGTON:
Kematian Covid-19 di Amerika Syarikat melepasi 75,000 kes pada Khamis, menurut statistik Reuters, selepas White House menangguhkan panduan disediakan pegawai kesihatan untuk membantu pembukaan semula ekonomi negeri dengan selamat.

AS, pusat penularan pandemik itu, secara purata mencatatkan 2,000 kematian sehari sejak pertengahan April lalu, walaupun usaha giat dilakukan untuk memperlahankan penyebaran virus berkenaan.

Angka korban koronavirus lebih tinggi daripada kematian akibat selesema bermusim sejak 1967 dan dalam tempoh 10 tahun pertama wabak AIDS dari 1981 hingga 1991.

Kes positif Covid-19 di AS kini melebihi 1.25 juta orang dengan jangkitan baru terus meningkat di banyak negeri, termasuk Illinois, Maryland, Minnesota, Tennessee, Texas, Virginia dan Wisconsin, menurut pengiraan Reuters dan analisis data sejarah daripada Projek Pengesanan Covid.

New York dan New Jersey, 2 negeri dengan jumlah kes terbanyak, merekodkan penurunan kes baru dalam beberapa minggu ini.

Beberapa pakar kesihatan meramalkan peningkatan semula kematian pada musim panas ini ketika negeri mula menarik balik perintah sekatan pergerakan dan penduduknya dibenarkan makan di restoran serta kembali ke gim.

Satu model penyelidikan Universiti Washington yang memetik pegawai White House awal minggu ini menggandakan unjuran angka korban di AS melebihi 134,000 kematian menjelang 4 Ogos.

Ramalan dalaman pentadbiran Donald Trump menjangkakan angka korban akan meningkat kepada 3,000 kematian sehari menjelang akhir bulan ini.

Banyak negeri mahu membuka semula sektor ekonominya akibat peningkatan kadar pengangguran. Kira-kira 33.5 juta orang mengemukakan tuntutan manfaat pengangguran sejak 21 Mac lalu, kira-kira 22.1% daripada populasi umur bekerja.

Dokumen sepanjang 17 halaman yang disediakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ditangguhkan untuk mengelakkan memberi panduan “terlalu preskriptif”, kata seorang ahli pasukan petugas White House.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.