
Katanya, kerajaan juga perlu menunggu sehingga keputusan ujian saringan boleh diperolehi dalam masa kurang 24 jam dan sebarang kes baru dapat dikawal segera.
Buat masa ini, beliau berkata, keputusan ujian saringan memerlukan 2 hingga 3 hari.
“Ini bermakna statistik kita lambat 2, 3 hari, di mana seseorang individu masih boleh menjangkiti orang lain.
“Ini sebabnya kita masih ada orang yang dijangkiti daripada kluster lama,” katanya kepada FMT.
Lee berkata, langkah yang beliau cadangkan boleh membantu mengawal penularan jangkitan dan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka kembali ke sekolah.
Semalam, Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin berkata, sebarang keputusan membuka semula sekolah hanya akan dibuat selepas keadaan kembali normal.
Beliau berkata, kementeriannya akan membuat pengumuman itu sekurang-kurangnya 2 minggu lebih awal.
Hari ini, Lee berkata, kadar jangkitan hanya akan berkurangan jika kit ujian dapat memberikan keputusan kurang 24 jam dan pengesanan kontak boleh dilakukan segera dengan bantuan pemimpin masyarakat.
“Jika seorang pesakit di Kuala Lumpur memberitahu beliau dijangkiti seseorang di Jalan Tikus, Pulau Pinang, pegawai Jabatan Kesihatan sepatutnya boleh menghubungi pemimpin masyarkat dari kawasan terbabit untuk bertanyakan alamatnya,” katanya sambil menasihatkan Kementerian Kesihatan mewujudkan satu rangkaian komuniti tempatan bagi tujuan itu.
Beliau menggesa Kementerian Pendidikan turut tampil dengan cara kreatif bagi memastikan pelajar terus mendapat pendidikan kerana tiada cara untuk menentukan berapa lama sekolah akan terus ditutup.
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, sekolah dan kolej boleh dibuka semula berdasarkan lokasi mereka jika terletak di bawah hijau atau kuning.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang baik perlu dilaksanakan.
Katanya, langkah lain termasuk membahagikan waktu rehat, mengurangkan hari persekolahan, mencuci tangan dan membersihkan permukaan lebih kerap.
Beliau turut menggesa Putrajaya mengkaji sama ada manfaat kesihatan awam dengan meneruskan penutupan sekolah setimpal dengan kos bagi kanak-kanak dan keluarga mereka.
Ini termasuk kerosakan atau gangguan kepada pendidikan, kesihatan mental dan kewangan, katanya sambil menambah pekerja sektor perkhidmatan asas juga perlu kekal di rumah untuk menjaga anak mereka.