Firma guaman dibenar beroperasi dengan syarat

Firma guaman dibenar beroperasi dengan syarat

Firma guaman yang berada dalam zon hijau dibenarkan beroperasi 2 kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis dari 10 pagi hingga 4 petang.

Suhu badan kakitangan firma guaman yang datang bekerja mesti direkodkan sebelum memasuki pejabat.
PETALING JAYA:
Firma guaman yang terbabit dalam cabang “conveyancing” dan korporat dibenarkan beroperasi dalam fasa ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, dalam mengeluarkan garis panduan untuk firma guaman mengenai operasi antara 15 dan 28 April, berkata: “Firma guaman yang berada dalam zon hijau dibenarkan beroperasi 2 kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis dari 10 pagi hingga 4 petang.”

Zon hijau adalah daerah tanpa kes Covid-19.

Firma terbabit perlu merekodkan kehadiran kakitangan dan jumlah kakitangan di dalam pejabat tidak melebihi 20% jika firma berkenaan mempunyai lebih 21 kakitangan.

Bagi firma guaman yang mempunyai 1 hingga 21 kitangan, hanya 3 hingga 6 orang dibenarkan datang bekerja.

Garis panduan itu turut menyatakan anak guam boleh berjumpa peguam mereka di firma guaman bagi urusan yang benar-benar mendesak dan hanya seorang anak guam pada satu masa.

“Firma guaman mesti menyediakan pensanitasi di pejabat dan merekodkan bacaan suhu badan kakitangan yang datang ke pejabat,” kata kenyataan itu yang menambah kakitangan yang demam perlu dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata syarikat dalam sektor tambahan dibenarkan beroperasi dalam fasa ke-3 PKP dan perlu mendapatkan kebenaran kerajaan mulai 13 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.