
Lim yang juga peguam menjelaskan, Stella, Lim & Co, firma yang diuruskannya bersama isterinya, Stella Ng, merupakan antara peguam cara yang bertindak bagi pihak Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (MECSB) berkaitan projek perumahan itu.
Katanya, mereka diarahkan oleh MECSB untuk ‘terlibat dalam dialog yang membina’ dengan kerajaan Selangor tentang cadangan MECSB untuk menyerahkan tanah secara sukarela bagi tujuan program perumahan mampu milik serta penempatan semula rumah ibadat yang terkesan.
“Langkah ini berlandaskan prinsip undang-undang asas bahawa setiap entiti berhak mendapat perwakilan undang-undang, satu komponen penting dalam akses kepada keadilan dan kedaulatan undang-undang dalam mana-mana masyarakat demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, firmanya berhak mengambil remedi undang-undang yang sewajarnya terhadap semua tuduhan fitnah atau tidak berasas.
Awal hari ini, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan meminta DAP menjelaskan pendiriannya mengenai kontroversi ini, susulan pendedahan bahawa MECSB diwakili oleh firma guaman Stella, Lim & Co.
Arutchelvan menyifatkan keadaan ini ‘sangat membimbangkan’ dan menunjukkan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan.
Beliau menegaskan, dalam pada Adun Pandamaran Leong Tuck Chee membela penduduk yang terjejas di kawasan DUN itu dan meminta MECSB disenarai hitam, seorang lagi Ahli Parlimen DAP pula mewakili syarikat tersebut.
Arutchelvan turut menyebut pengeluaran surat bertandatangan daripada firma itu bagi pihak MECSB, bertarikh 11 Nov, yang ditujukan kepada Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah.
Surat yang dilihat oleh FMT itu menafikan pemaju berjanji menyerahkan 3.2 hektar tanah untuk membina pangsapuri bagi penduduk terlibat semasa mesyuarat dengan kerajaan negeri bulan lepas.
“Namun, dalam semangat untuk mencapai penyelesaian secara damai, anak guam kami bersedia menyerahkan 2.8 hektar tanah, termasuk lot-lot di Jalan Papan dan Jalan Kerayong yang telah dikenal pasti sebagai tapak penempatan semula tokong-tokong Cina, sebagai satu penyelesaian yang menguntungkan bagi semua pihak dalam isu ini.”
“Kesemua 44 defendan yang kini membuat rayuan di Mahkamah Rayuan juga mesti menarik balik rayuan mereka segera, dengan kos ditanggung sendiri dan tanpa kebenaran memfailkan rayuan itu semula,” menurut surat itu.
Lim mengulangi bahawa MECSB, ‘yang telah mendapatkan perintah pengusiran sah daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam, tidak terikat dengan sebarang tanggungjawab di sisi undang-undang untuk menyerahkan mana-mana tanah’.
“Cadangan penyelesaian komprehensif ini merupakan satu tanda bona fide ke arah mencapai resolusi adil yang mengharmonikan objektif pembangunan dengan kepentingan komuniti,” katanya.