
Ia termasuk seorang doktor dan beberapa remaja berumur 16 tahun.
Antara pertuduhan mereka ialah menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka semasa PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 6 bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Di Pulau Pinang, Dr Ong Hean Teik, 61, yang bertugas di sebuah klinik swasta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas 2 pertuduhan, iaitu menghalang tugas penjawat awam dan melanggar PKP.
Tertuduh didakwa menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhd Alif Aizad Abd Latiff menjalankan fungsi awamnya di Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari, pada 6 petang 19 Mac.
Bagi pertuduhan ke-2, Ong didakwa keluar dari rumah di Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang bukan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 pada 4.45 petang tarikh sama.
Majistret Jamaliah Abd Manap membenarkan Ong diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap sebulan, sebelum menetapkan 9 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, 7 lelaki didenda RM1,000 dan dikenakan hukuman perintah kehadiran wajib (PKW) selama 3 bulan kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dalam tempoh PKP.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas 6 tertuduh berumur 24 tahun dan seorang lagi berumur 56 tahun mengaku keluar dari rumah masing-masing ke padang bola Jalan DS Ramanathan di belakang Hospital Adventist Pulau Tikus, dekat sini.
Di Perlis, seorang pesawah, Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan seorang penganggur, Noor Shabuddin Saidin, 24, dihukum penjara 2 bulan selepas mengaku mencuri 18 biji mangga harum manis serta melanggar PKP di Mahkamah Majistret Kangar semalam.
Majistret Kamaliza Md Zain menjatuhi hukuman penjara sebulan bagi pertuduhan mencuri dan 2 bulan bagi kesalahan mengingkari PKP serta memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Mereka didakwa mencuri buah itu di kawasan kebun harum manis di Jalan Guar Nangka, Kampung Cikgu Ali, Mata Ayer di sini pada 9.30 pagi 25 Mac mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 7 tahun dan denda.
Mereka juga didakwa gagal mematuhi arahan PKP pada 9.30 pagi 25 Mac.
Di Kedah, sejumlah 33 individu mengaku bersalah melanggar PKP dan masing-masing dihukum penjara antara 2 hingga 14 hari serta denda antara RM500 hingga RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar.
Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas 4 remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun, manakala yang lain berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.
Mereka ditahan di lokasi berasingan sekitar Mergong, Simpang Empat, Kuala Kedah dan Alor Setar antara 26 hingga 28 Mac.
Di Kuala Lumpur, 11 lelaki mengaku bersalah melanggar PKP dan 9 daripada mereka didenda RM1,000 manakala 2 lagi dihukum penjara sebulan oleh Majistret Wong Chai Sia.
Semua tertuduh yang berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 50-an, ditahan di lokasi berasingan sekitar Kepong, Brickfields, Sentul serta Wangsa Maju pada 28 dan 29 Mac.
Di Selangor, seorang juruteknik berusia 27 tahun didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku gagal mematuhi PKP pada 8.45 malam 25 Mac.
Di Terengganu, 30 individu termasuk 2 wanita didakwa di 4 mahkamah kerana melanggar PKP.
Semua tertuduh yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 39 tahun didakwa melakukan kesalahan itu antara 4.30 petang hingga 11.45 malam di pelbagai lokasi termasuk Manir, Kuala Nerus, Marang dan Dungun, antara 27 Mac hingga 29 Mac.
Di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, 8 lelaki mengaku bersalah dan dihukum penjara antara 7 hingga 14 hari, manakala seorang lagi minta dibicarakan.
Di Mahkamah Sesyen Kemaman, 14 individu termasuk 2 wanita didenda RM1,000 atau penjara 20 hari selepas mengaku bersalah melanggar PKP.
Di Mahkamah Majistret Marang, 3 lelaki didenda RM1,000 atau penjara 3 bulan, manakala seorang remaja 17 tahun dibenarkan diikat jamin RM1,000 sementara menunggu mahkamah mendapatkan laporan akhlak. Mereka semua mengaku bersalah.
Di Mahkamah Majistret Dungun, 4 lelaki termasuk 2 warga asing turut didakwa atas kesalahan sama dan 2 daripada mereka mengaku tidak bersalah, manakala 2 lagi dihukum penjara 14 hari dan denda RM1,000 atau penjara 3 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, M Lishantini, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad dan Ahmad Syafiq Aizat Nazri.