Rayer gesa kaji semula cadangan tuduh 2 aktivis Suaram

Rayer gesa kaji semula cadangan tuduh 2 aktivis Suaram

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata siasatan lebih mendalam perlu dibuat kerana wujud akuan penerimaan memorandum ditandatangani KDN.

Sevan Doraisamy Azura Nasron
Suaram dakwa dua aktivis Sevan Doraisamy dan Azura Nasron akan didakwa di mahkamah susulan dakwaan mereka memasuki kompleks KDN yang dikatakan kawasan larangan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menyeru kerajaan mengkaji semula keputusan menuduh dua aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang didakwa akan dihadapkan ke mahkamah, esok.

Rayer berkata, siasatan lebih mendalam perlu dilakukan kerana wujud akuan penerimaan memorandum ditandatangani pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diserah kumpulan hak asasi manusia itu.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dan diberitahu mereka dibenarkan memasuki bangunan KDN untuk menyerahkan memorandum oleh seorang pegawai walaupun tanpa pas.

“Kemudian mereka masuk ke satu bilik untuk berbincang serta menyerahkan memorandum tersebut,” kata pemimpin DAP itu pada sidang akhbar di Parlimen, sambil menambah kumpulan terbabit juga terus meninggalkan bangunan KDN selepas penyerahan memorandum itu.

Semalam, Suaram mendakwa Sevan dan penyelarasnya Azura Nasron, antara tiga individu yang akan dituduh di mahkamah pada pagi esok.

Sevan pada 12 Feb lalu dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung dakwaan memasuki KDN tanpa pas, pada 10 Feb.

Dalam kejadian itu, Suaram dan ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma ke KDN bagi menyerahkan memorandum menuntut jawapan berhubung kesejahteraan tahanan.

Pegawai kementerian ada bertemu dengan pihak keluarga di pekarangan kementerian, namun hanya menyatakan kebimbangan mereka akan disampaikan kepada pihak berkenaan.

Suaram dan ahli keluarga terbabit, yang berkeras mahu bertemu dengan pegawai bagi penyerahan memorandum itu, kemudian melepasi pintu masuk kompleks tetapi dihalang ke bangunan utama.

Sebelum itu, kira-kira 50 orang, termasuk ahli keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh kerana protes penolakan permohonan lawatan oleh Jabatan Penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.