
AGC memaklumkan, pendakwaan terhadap Akmal dibuat susulan kenyataannya di laman Facebook ‘Akmal Saleh’, manakala Hilman pula didakwa atas kenyataan dalam video di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.
Selain Akmal dan Hilman, seorang individu lain, Siti Hajar Afiah Sharuddin, akan didakwa mengikut seksyen sama berhubung kenyataan dibuat menerusi akaun TikTok ‘SHA_Abrienda’.
Sementara itu, seorang lagi individu, S Chandrasegaran akan didakwa mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung kenyataan dibuat melalui akaun TikTok ‘cikguchandra3’.
“Kenyataan dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata AGC dalam kenyataan media.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan kandungan hantaran yang dipersoalkan bagi kes-kes tersebut.
Terdahulu, Akmal dalam satu siaran video di Facebook berkata, beliau dimaklumkan polis bahawa beliau akan dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat ini.
Justeru, katanya, beliau akan memendekkan ziarah umrahnya ke Mekah yang baru bermula semalam bagi menghadapi proses pendakwaan itu.
“Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara,saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun,” katanya.
Awal hari ini turut dilaporkan Hilman akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok, dikatakan berkait ucapannya yang mengkritik penahanan beberapa ahli Bersatu susulan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai.