2 aktivis akan dituduh Selasa, kata Suaram

2 aktivis akan dituduh Selasa, kata Suaram

Sevan Doraisamy dan Azura Nasron antara tiga yang akan dituduh mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, dakwa Suaram.

Suaram dakwa dua aktivis akan didakwa di mahkamah, susulan dakwaan mereka memasuki kompleks KDN yang dikatakan kawasan larangan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), mendakwa dua aktivisnya akan dituduh di mahkamah pada Selasa.

Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy dan penyelaras, Azura Nasron, antara tiga individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, katanya.

Sevan pada 12 Feb lalu dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung dakwaan memasuki Kementerian Dalam Negeri (KDN) tanpa pas, pada 10 Feb.

“Kami percaya pertuduhan ini susulan dari dakwaan pihak polis bahawa mereka telah memasuki Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya yang kononnya merupakan kawasan larangan,” menurut kenyataan Suaram.

Dalam kejadian 10 Feb lalu, Suaram dan ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma ke KDN bagi menyerahkan memorandum menuntut jawapan berhubung kesejahteraan tahanan.

Pegawai kementerian ada bertemu dengan pihak keluarga di pekarangan kementerian, namun hanya menyatakan kebimbangan mereka akan disampaikan kepada pihak berkenaan.

Suaram dan ahli keluarga terbabit, yang berkeras mahu bertemu dengan pegawai bagi penyerahan memorandum itu, kemudian melepasi pintu masuk kompleks tetapi dihalang ke bangunan utama.

Sebelum itu, kira-kira 50 orang, termasuk ahli keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh kerana protes penolakan permohonan lawatan oleh Jabatan Penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.