Pakej rangsangan RM250 bilion antara terbesar di dunia, kata Tok Pa

Pakej rangsangan RM250 bilion antara terbesar di dunia, kata Tok Pa

Menteri itu berkata, daripada RM250 bilion itu, kerajaan memperuntukkan RM25 bilion, KWSP RM50 bilion dan RM175 bilion daripada bank.

Mustapa Mohamed membuat perbandingan dari segi KDNK Malaysia 17%, UK 16%, AS dan Singapura masing-masing 11%.
KUALA LUMPUR:
Pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat berjumlah RM250 bilion yang diumumkan kerajaan antara terbesar di dunia jika dibandingkan dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu kira-kira 17%.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, sebagai perbandingan, United Kingdom sebanyak 16%, manakala Amerika Syarikat dan Singapura masing-masing sebanyak 11%.

“Jika dibandingkan dengan KDNK, kita adalah antara yang tertinggi…ianya juga menjadi satu ukuran yang menunjukkan tindakan kerajaan ini besar,” katanya ketika menjadi tetamu Program Bicara Naratif RTM hari ini.

Dalam program itu, beliau memperincikan pakej dibentangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam bentuk bantuan untuk melindungi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain memperkukuh ekonomi negara.

Mustapa berkata, RM250 bilion itu merangkumi 2 komponen, iaitu komponen pakej pertama (27 Feb lalu) berjumlah RM20 bilion dan komponen ke-2 (semalam) sebanyak RM230 bilion dengan 3 sumber, iaitu kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pihak bank.

“Kerajaan (memperuntukkan) RM25 bilion, manakala KWSP RM50 bilion, iaitu RM10 bilion daripada pakej 27 Feb melibatkan pengurangan caruman pekerja daripada 11% kepada 7% dan seterusnya RM500 sebulan bagi pencarum mengeluarkan maksimum RM6,000 yang dianggarkan RM40 bilion.

“Sejumlah RM175 bilion lagi daripada pihak bank.”

Katanya, sebahagian daripada sistem bank itu dijamin kerajaan, iaitu sebahagiannya sehingga 80%.

“Maknanya, jika (pengguna) tidak membayar hutang, kerajaan harus bayar kepada mereka (bank) dan di situ ada penglibatan kerajaan.”

Beliau berkata, dalam krisis menangani impak ekonomi akibat penularan Covid-19, pihak seperti Bank Negara Malaysia dan bank menyedari mereka turut memainkan peranan.

“Ini melambangkan kita bekerjasama…kita menggembleng semua tenaga. Ini juga menunjukkan semua (pihak) faham krisis luar biasa ini memerlukan usaha bersama.

“Oleh itu, kita berterima kasih kepada pihak seperti bank, KWSP serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang turut membantu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.