
Pengarah dan penganalisis strategi pelaburan dan ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2% pada suku ketiga mengukuhkan naratif bahawa perbelanjaan dalam negeri kekal berdaya tahan.
Beliau berkata lonjakan ketara dalam eksport bersih dan akaun semasa yang kembali mencatat lebihan sebanyak RM12.2 bilion menyerlahkan kedudukan luaran negara yang semakin baik, disokong oleh permintaan eksport yang pelbagai serta rantaian bekalan serantau yang semakin stabil.
Selain itu, Sedek berkata subsidi seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) secara langsung menurunkan inflasi keseluruhan dengan menurunkan kos berkaitan bahan api, namun secara relatif inflasi teras kekal stabil.
“Semua petunjuk ini menandakan ekonomi sedang mengukuh dari dalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan permintaan luar terus menyokong pertumbuhan KDNK keseluruhan walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan susulan langkah perlindungan yang diambil Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan domestik sederhana kepada 5.8% pada suku ketiga 2025 berbanding 7.0% sebelum ini, sejajar pertumbuhan sederhana dalam penggunaan dan pelaburan swasta.
“Penggunaan swasta, yang merangkumi lebih 60% daripada KDNK, berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 5.0% berbanding 5.3% sebelumnya. Ini menunjukkan pengguna masih berhati-hati dalam berbelanja walaupun pasaran buruh berada pada tahap guna tenaga penuh,” katanya.
Mengenai prospek, Afzanizam berkata pencapaian pertumbuhan suku ketiga ini adalah memuaskan, manakala suku terakhir dijangka berkembang sekitar 5.0%.
“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam lingkungan unjuran rasmi 4.0% hingga 4.8% pada 2025 dan 4.0% hingga 4.5% pada 2026, disokong langkah proaktif Bank Negara menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada Mei dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai.
“Selain itu, dengan pelaksanaan dasar fiskal yang bersifat mengembang, termasuk bantuan kerajaan seperti pindahan tunai dan subsidi yang kini lebih bersasar, ia dijangka memberikan sokongan yang diperlukan bagi meredakan ketidaktentuan luaran,” katanya.