Usaha kerajaan tingkatkan kerencaman ekonomi berjaya

Usaha kerajaan tingkatkan kerencaman ekonomi berjaya

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, unjuran awal tunjuk pertumbuhan ekonomi berdaya saing dalam persekitaran global yang masih mencabar.

shopping hypermarket
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, semua sektor ekonomi dilihat rancak pada suku ketiga berdasarkan unjuran awal pertumbuhan ekonomi.
KUALA LUMPUR:
Usaha kerajaan meningkatkan kerencaman ekonomi negara telah berjaya, mengambil kira prestasi sektor ekonomi berdaya saing yang diunjurkan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, semua sektor ekonomi dilihat rancak pada suku ketiga berdasarkan unjuran awal pertumbuhan ekonomi 5.2% bagi keseluruhan KDNK yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, unjuran awal itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi berdaya saing dalam persekitaran ekonomi dunia yang masih mencabar, memetik contoh sektor seperti pembinaan diunjur berkembang 11%, penggunaan swasta lebih 5% dan perlombongan melebihi 10%.

“Negara kita masih ada daya tahan dalam ekonominya, kalau kita lihat dari segi kepelbagaian segmen ekonomi yang kita ada.

“Daripada segi pasaran yang kita ada juga terdapat kepelbagaian dan kita tidak bergantung kepada hanya satu pasaran,” katanya pada sidang media pelancaran Program Innovathon musim ketiga anjuran Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini.

Menurut Amir Hamzah, usaha kerajaan juga berjaya menarik pelabur asing berdasarkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM384 bilion tahun lepas dan hampir RM190 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Pelabur asing percaya model (ekonomi) yang kita ada adalah model yang baik dan kita melihat juga pelaburan yang diluluskan itu dalam segmen pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV),” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pelancaran, Amir Hamzah berkata, penyertaan program Innovathon meningkat lebih 100%, kepada 2,032 tahun ini berbanding 1,003 tahun lepas.

Beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Ekonomi telah meningkatkan nilai hadiah keseluruhan bagi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan Program Innovathon daripada RM1 juta kepada RM1.65 juta.

“Seramai 56 inovator tempatan akan bersaing untuk merebut hadiah utama berbentuk wang tunai sebanyak RM100,000 beserta Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan sebanyak RM500,000,” katanya.

“Bagi musim ketiga ini, inovasi yang ditonjolkan bertumpu kepada inovasi berasaskan teknologi untuk kegunaan harian seperti dalam bidang automotif, perindustrian dan peralatan kesihatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.