Kestabilan ekonomi 2025 bantu rakyat hadapi tahun tak menentu

Kestabilan ekonomi 2025 bantu rakyat hadapi tahun tak menentu

Samirul Ariff Othman berkata isi rumah, pelabur dan pembuat dasar hargai kestabilan dalam tempoh 12 bulan.

KL skyline
Samirul Ariff Othman berkata pemulihan ringgit menunjukkan pelabur melihat Malaysia negara yang kekal boleh dijangka walaupun wujud perbahasan politik dan pembaharuan dasar. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Dari sudut ekonomi, rakyat Malaysia boleh menutup tirai 2025 dengan rasa lega.

Ketika ketidaktentuan global semakin memuncak dan menimbulkan kebimbangan kesan buruk terhadap ekonomi negara, Malaysia berjaya mengelak kejutan besar, kata ahli ekonomi, Samirul Ariff Othman.

Samirul Ariff Othman
Samirul Ariff Othman.

Menurut pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas itu, prestasi ekonomi negara sepanjang tahun ini mungkin tidak luar biasa, namun jauh daripada keadaan gawat.

“Ia mungkin tidak mencatat pertumbuhan hebat, tetapi yang penting ekonomi kekal stabil,” katanya kepada FMT.

Samirul berkata kestabilan itu dihargai kebanyakan isi rumah dan pelabur, walaupun sering dipandang ringan dalam perbahasan awam.

Beliau menjelaskan, prestasi ekonomi tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan angka pertumbuhan, sebaliknya melalui pengalaman harian rakyat biasa — daripada pulangan simpanan, keselamatan pekerjaan, hinggalah harga barang dan kos pinjaman.

“Kebanyakan rakyat tidak merasai ekonomi melalui graf KDNK atau kenyataan dasar,” katanya.

“Sebaliknya dirasai melalui perkara nyata yang mempengaruhi keputusan dan keyakinan isi rumah.”

Menurut Samirul, salah satu petunjuk penting, ialah dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang tahun ini diumumkan 5.75 sen seunit, membabitkan lebih RM10 bilion kepada pemegang unit.

“Ia tidak menandakan zaman kemewahan, tetapi cukup meyakinkan rakyat instrumen simpanan utama mereka masih kukuh.”

Beliau menambah dalam suasana dunia dibayangi ketegangan geopolitik, pertumbuhan global tidak seimbang dan turun naik pasaran, kesinambungan dasar lebih penting daripada sensasi jangka pendek.

Bagi isi rumah bergantung kepada ASB untuk simpanan persaraan dan jangka panjang, keboleh ramalan itu sendiri menjadi satu bentuk keselamatan ekonomi, katanya.

Prestasi ringgit turut mengukuhkan rasa kestabilan itu di mana selepas beberapa tahun, mata wang negara menunjukkan pemulihan dan muncul antara berprestasi baik di rantau ini.

“Bagi isi rumah, ini memberi sedikit kelegaan daripada tekanan harga barangan import, khususnya keperluan asas dan ubat-ubatan,” kata Samirul.

“Bagi pembuat dasar pula, pengukuhan itu berlaku secara teratur bukan mendadak.”

Beliau berkata pemulihan ringgit mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur, bukannya aliran spekulatif.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan Malaysia dilihat sebagai negara yang secara umumnya stabil dan boleh dijangka walaupun wujud perdebatan politik dan reformasi.

Dasar monetari juga memainkan peranan menstabilkan ekonomi dengan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75%, dengan imbangan antara sokongan pertumbuhan dan kestabilan harga.

Inflasi pula kekal sederhana manakala kadar pengangguran sekitar 3%, mencerminkan ekonomi yang masih menjana peluang pekerjaan.

“Bagi kebanyakan keluarga, realitinya bercampur-campur,” kata Samirul.

“Kos sara hidup kekal tinggi dan aspirasi terhad, namun keadaan makro ekonomi tidak menunjukkan tanda-tanda krisis.”

Beliau berkata pasaran ekuiti turut mencerminkan keadaan itu apabila saham syarikat besar kekal lebih berdaya tahan disokong kedudukan kewangan kukuh manakala saham sederhana dan kecil berdepan tekanan akibat keadaan kewangan lebih ketat.

“Ini menggambarkan tema utama 2025,” katanya. “Pengambilan risiko tidak diberi ganjaran secara membuta tuli, tetapi juga tidak dihukum secara melampau.”

Di sebalik apa yang kelihatan, Samirul menegaskan aliran pelaburan berterusan menjadi tonggak penting pertumbuhan dengan Malaysia terus menarik komitmen pelaburan dalam sektor semikonduktor, pusat data, infrastruktur digital dan peralihan tenaga.

“Pelaburan ini tidak didorong oleh sentimen jangka pendek atau politik,” katanya. “Ia bergantung kepada kesinambungan dasar, fungsi institusi dan keyakinan bahawa negara ini kekal menarik untuk jangka panjang.”

Menurut Samirul, pencapaian utama Malaysia pada tahun ini ialah mengelakkan kesilapan sendiri ketika banyak ekonomi lain bergelut dengan ketidaktentuan dasar dan pelarian pelabur.

“Ia bukan tahun perubahan ekonomi dramatik,” katanya. “Tetapi tahun di mana Malaysia kekal relevan dan boleh dijangka.”

Beliau menegaskan dalam era kecerdasan buatan (AI), perubahan rantaian bekalan dan risiko geopolitik, kestabilan kini menjadi aset strategik.

“Dalam zaman tidak menentu, kestabilan bukan kelemahan,” katanya. “Ia satu bentuk perlindungan.”

Melangkah ke hadapan, Samirul mengingatkan kestabilan sahaja tidak mencukupi memenuhi jangkaan rakyat, khususnya berkaitan gaji dan kos sara hidup.

Namun tanpa kestabilan, kemajuan sukar dipertahankan.

“Bagi isi rumah, pelabur dan pembuat dasar,” katanya.

“Tahun 2025 membuktikan kestabilan sama pentingnya dengan pertumbuhan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.