Lonjakan ringgit buka peluang rakyat naik taraf digital, kata ahli ekonomi

Lonjakan ringgit buka peluang rakyat naik taraf digital, kata ahli ekonomi

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata ini buka peluang tingkat kemampuan digital negara dengan kos lebih murah.

ringgit usd
Ringgit yang terus mengukuh berbanding dolar menjadikan ia masa terbaik untuk perniagaan menaik taraf kemampuan digital mereka.
PETALING JAYA:
Peningkatan ringgit yang stabil tahun ini, yang kini didagangkan sekitar RM4.13 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras terkuatnya dalam tempoh lebih setahun, bukan sahaja meningkatkan sentimen pelabur.

Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai berkata keadaan itu turut membuka peluang bagi rakyat Malaysia menaik taraf peranti digital, perisian dan perkhidmatan awan pada kos yang jauh lebih rendah.

“Apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS, kos barangan dan perkhidmatan import yang berharga dalam dolar AS, seperti komputer riba, telefon pintar, langganan perisian dan perkhidmatan awan, menjadi lebih murah untuk pembeli di Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta isi rumah kini membayar lebih murah untuk alat digital seperti Microsoft 365, Adobe Creative Cloud dan perkhidmatan AWS.

Barjoyai berkata perkakasan import termasuk penghala, pelayan dan peranti IoT (internet benda) juga menjadi lebih mudah diakses selaras pengukuhan ringgit.

“Kesan ini amat ketara bagi platform berasaskan langganan, di mana yuran bulanan atau tahunan dibayar dalam dolar AS,” katanya.

Kadar pertukaran yang lebih menguntungkan ini hadir pada masa yang tepat bagi banyak PKS, khususnya yang ketinggalan dalam penerimaan digital meskipun pelbagai sokongan disediakan oleh penyedia teknologi.

Barjoyai berkata kos teknologi yang lebih rendah dapat membantu PKS berkembang lebih cepat, membolehkan mereka meningkatkan kecekapan operasi melalui penggunaan platform awan dan penyelesaian SaaS seperti CRM, ERP dan sistem e-dagang.

Beliau berkata ini masa yang sesuai untuk perniagaan memodenkan sistem mereka, satu proses yang mungkin sebelum ini mereka tangguhkan akibat kos tinggi susulan pertukaran mata wang dolar AS.

Ringgit yang lebih kukuh juga membolehkan isi rumah dan perniagaan kecil menaik taraf telefon pintar, tablet dan komputer riba yang penting untuk akses digital harian.

“Kadar pertukaran ini mengubah dan beri peluang sebenar untuk merapatkan jurang digital Malaysia,” kata Barjoyai.

Tambahnya, akses kepada perkhidmatan digital mampu milik boleh memperkasa komuniti luar bandar dan kumpulan kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus membolehkan mereka menyertai ekonomi digital.

“Ini selari dengan matlamat Ekonomi Madani untuk pertumbuhan yang inklusif dan saksama,” katanya.

Barjoyai berkata dari perspektif ekonomi, memanfaatkan ringgit yang kukuh untuk melabur dalam teknologi adalah langkah strategik kerana penerimaan digital meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing jangka panjang.

Beliau menambah membina infrastruktur digital turut mengukuhkan ketahanan negara terhadap kejutan pada masa depan seperti pandemik dan gangguan rantaian bekalan.

“Melabur sekarang mengunci penjimatan kos sebelum turun naik mata wang berpotensi mengundurkan kelebihan tersebut.”

Barjoyai berkata peningkatan digital secara meluas boleh meningkatkan produktiviti negara dan mengukuhkan ekonomi digital, yang menyumbang 23.5% daripada KDNK pada 2023.

Beliau berkata PKS yang menerima pakai alatan yang lebih baik berpotensi meningkatkan hasil, keuntungan dan daya saing global.

Katanya, ringgit yang kukuh memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memodenkan dan menerima pakai alat digital yang mungkin sebelum ini di luar jangkauan ketika mata wang lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.