8 kerja kritikal sektor pembinaan dikecuali perintah kawalan pergerakan

8 kerja kritikal sektor pembinaan dikecuali perintah kawalan pergerakan

Turut disenaraikan sebagai kerja kritikal dalam sektor pembinaan ialah ialah keselamatan kren menara dan kren berantai serta pembinaan jambatan Bailey di lokasi jambatan roboh.

Kementerian Sumber Manusia berkata, antara 8 kerja kritikal sektor pembinaan yang dikecualikan daripada perintah kawalan pergerakan ialah pembaikan cerun, pusat pemantauan trafik dan kerja naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Lapan kerja kritikal dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan diberi pengecualian dan dibenarkan untuk diteruskan sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu yang dikeluarkan hari ini berkata, 8 kerja kritikal berkenaan ialah pembaikan cerun, pusat pemantauan trafik (TMC), kerja naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal dan kerja keselamatan perancah.

Turut disenaraikan sebagai kerja kritikal ialah kerja memastikan keselamatan kren menara dan kren berantai, pembinaan jambatan Bailey di lokasi jambatan roboh, kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak, dan kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya.

Menurut KSM, pengecualian diberikan kepada kerja-kerja kritikal berkenaan kerana ia melibatkan kerja-kerja yang jika tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran.

Ia berkata, permohonan perlu dimajukan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk kelulusan sebelum dibenarkan melaksanakan lapan kerja kritikal berkenaan.

Menurutnya lagi, surat rasmi permohonan menjalankan kerja kritikal berkenaan perlu disertakan beberapa maklumat penting termasuk nama projek dan lokasi projek, nombor pendaftaran projek dengan JKKP dan nama berserta nombor telefon pengurus projek.

Maklumat lain yang diperlukan ialah nama peserta dan jawatan yang ditetapkan yang mengawasi perjalanan kerja-kerja kritikal tersebut dan salinan surat kelulusan melakukan kerja-kerja kritikal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya.

Permohonan lengkap hendaklah dikemukakan menerusi e-mail ke pejabat JKKP negeri di mana projek berada dan serta salinan kepada [email protected] namun permohonan tidak lengkap akan ditolak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.