Kecualikan bayaran balik PTPTN graduan kelas pertama universiti swasta, kata Wee

Kecualikan bayaran balik PTPTN graduan kelas pertama universiti swasta, kata Wee

Wee Ka Siong berkata tidak adil graduan universiti swasta tidak mendapat keistimewaan sama seperti pelajar universiti awam.

ptptn
Wee Ka Siong berkata tidak wajar pelajar universiti swasta dipinggirkan daripada manfaat pengecualian bayaran balik PTPTN.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan mengecualikan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan kelas pertama universiti swasta, sama seperti yang dinikmati pelajar universiti awam.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata adalah tidak adil graduan universiti swasta tidak ditawarkan inisiatif itu kerana mereka meminjam bagi menanggung kos pengajian yang tinggi dan berhak menikmati keistimewaan sama.

Wee Ka Siong.

“Satu lagi ketidakadilan yang mesti diperbetulkan ialah pengecualian bayaran balik PTPTN yang hanya terhad kepada graduan kelas pertama universiti awam.

“Kerajaan tidak seharusnya menghukum pelajar hanya kerana mereka belajar di universiti swasta. Mereka juga rakyat Malaysia yang meminjam demi masa depan dan tidak mempunyai peluang di universiti awam,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Wee berkata penubuhan PTPTN pada 1997 sebenarnya bertujuan memberi tumpuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan kerana yuran pengajian di IPTS jauh lebih tinggi berbanding universiti awam.

“Apabila dasar diperluas kepada pelajar universiti awam, niat asalnya adalah untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang adil.

“Maka, tidak wajar jika pelajar IPTS kini diketepikan daripada manfaat pengecualian ini,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 minggu lalu mengumumkan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Beliau juga mengumumkan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi ijazah kelas pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah.

Wee berkata jika bimbang terlalu ramai graduan IPTS memperoleh ijazah kelas pertama, kerajaan boleh hadkan pengecualian kepada 10% pelajar terbaik bagi setiap program.

Dalam perkembangan lain, Wee turut mencadangkan kerajaan menggabungkan semula pelepasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans agar lebih fleksibel kepada semua pembayar cukai.

Katanya, jika kerajaan ingin menunjukkan keikhlasan membantu rakyat, jumlah pelepasan itu wajar ditingkatkan daripada RM7,000 kepada RM9,000, tanpa membezakan antara caruman KWSP dan insurans.

“Hanya dengan peningkatan dan penyatuan semula seperti ini barulah dasar fiskal benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.