
Geoffrey Williams berkata, kerajaan bersikap responsif terhadap pandangan pihak berkepentingan dan komited mengurangkan beban tanpa menjejaskan keupayaan fiskal negara.
“Perubahan ini bersifat kecil dari segi hasil dan tidak akan menjejaskan kutipan keseluruhan.
“Kerajaan dijangka masih dapat capai sasaran kutipan RM5 bilion bagi enam bulan terakhir tahun ini dan RM10 bilion tahun depan,” katanya kepada FMT, menjelaskan pengecualian itu juga membantu mengawal inflasi serta pola perbelanjaan pengguna.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan epal, oren, limau mandarin dan kurma diimport tidak dikenakan cukai jualan (CJ) selain tidak meneruskan peluasan cukai perkhidmatan (CP) kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku dan wajah serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut.
Kementerian Kewangan turut menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Ambang jualan tahunan bagi perniagaan tertakluk kepada CP untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, memanfaatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Mulai 1 Julai, kerajaan akan memperluaskan skop SST yang antaranya untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Matlamat jangka panjang
Selain melancarkan dasar percukaian, William berpendapat langkah itu juga selaras matlamat jangka panjang menambah hasil negara bagi memperkukuh perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial – tanpa membebankan pengguna secara mendadak.

“Ini bukan hanya soal kutipan cukai tetapi bagaimana melaksanakan dasar fiskal secara bertanggungjawab dan adil,” katanya mengingatkan pengguna berwaspada untuk mengelakkan ada peniaga ambil kesempatan naik harga barang dan perkhidmatan tanpa alasan munasabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, pula berpendapat kerajaan perlu menutup kelemahan dan ketirisan mungkin berlaku akibat kekeliruan pelaksanaan SST termasuk pindaan produk serta perkhidmatan dikecualikan cukai.

Menurut ahli ekonomi itu, sistem cukai perlu ringkas dan adil sambil mengingatkan jika keadaan sebaliknya termasuk pengecualian, ia mungkin menimbulkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
Beliau berkata, antara pendekatan perlu diambil kerajaan adalah memperkenalkan kawalan dan had terhadap perbelanjaannya sendiri bagi mengelakkan kesan risiko SST seperti peningkatan inflasi.
“Cukai bukan penyebab kepada inflasi sebaliknya perbelanjaan kerajaan yang menjadi punca.
“Sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu melaksanakan reformasi untuk meringankan beban kos sara hidup, kerajaan perlu memperkenalkan kawalan dan had terhadap perbelanjaannya sendiri,” katanya.