Jangan ada pengecualian larangan penuh pamer produk rokok

Jangan ada pengecualian larangan penuh pamer produk rokok

Pertubuhan antirokok berkata laporan diterima mendakwa sebahagian peruncit yang belum mematuhi peraturan itu sedang mendapatkan sokongan politik.

Pada 1 Okt pelaksanaan penuh Peraturan 6, Peraturan Kawalan Kesihatan Awam (Kawalan Jualan) 2024 iaitu larangan paparan runcit (RDB) akan mula berkuat kuasa.
PETALING JAYA:
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa larangan penuh mempamerkan produk rokok secara terbuka bermula 1 Okt ini dipatuhi semua peruncit tanpa sebarang alasan pengecualian.

Pertubuhan antirokok itu berkata, laporan diterima mendakwa ada sebahagian peruncit yang belum mematuhi peraturan tersebut sedang mendapatkan sokongan politik.

“Ini dengan alasan seperti kononnya langkah ini menjejaskan perniagaan kecil serta rungutan lain yang sering kedengaran setiap kali peraturan kawalan tembakau dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan melaksanakan larangan terhadap paparan terbuka semua produk rokok dan vape bermula 1 April lalu.

Bawah undang-undang itu, produk rokok dan vape tidak lagi boleh dipamerkan kepada orang awam di premis runcit bagi mengelakkan usaha promosi secara tidak langsung.

Pada 1 Okt ini, pelaksanaan penuh Peraturan 6, Peraturan Kawalan Kesihatan Awam (Kawalan Jualan) 2024 iaitu larangan paparan runcit (RDB) akan mula berkuat kuasa.

Individu didapati tidak mematuhi RDB boleh dikenakan denda antara RM500 hingga RM30,000 manakala organisasi boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjarakan.

Sementara itu, MCTC mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi panduan seperti menutup menggunakan kain atau kanvas kepada peruncit yang belum menyiapkan pemasangan kabinet tertutup.

MCTC berkata, kerajaan perlu melaksanakan pemeriksaan pematuhan secara telus ke atas peruncit dengan pemantauan di peringkat tertinggi bagi mengelakkan tuduhan pilih kasih atau dakwaan rasuah di peringkat pelaksanaan.

“Apa yang tidak wajar dan tidak diperlukan, adalah kerajaan tunduk kepada tekanan media sosial daripada segelintir pihak industri yang bermotifkan kepentingan sendiri. Ini sehingga menangguhkan pelaksanaan penuh peraturan ini atau lebih buruk lagi membatalkannya.

“Penting diingatkan suara pendapat awam adalah jelas mengenai isu ini, penguatkuasaan akta demi keselamatan dan kesihatan rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.