
Today Online melaporkan kira-kira 20 pekerja Malaysia menjadikan Stesen MRT Kranji sebagai rumah mereka kerana tiada tempat tinggal.
“Stesen itu sunyi pada sebelah malam, jadi aman untuk tidur di sana. Rakyat Malaysia lain yang tidur di sini ialah orang yang saya pernah lihat sebelum ini,” kata pencuci pinggan mangkuk, Sarala, 36, kepada portal berita itu.
Wanita itu antara kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja. Ramai yang memutuskan untuk terus berada di Singapura susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan olah Malaysia bagi membendung penularan Covid-19.
Perintah itu antara lain melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara sehingga 31 Mac ini dan warganegara yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Kerajaan Singapura sebelum ini mengumumkan insentif S$50 untuk setiap pekerja tiap hari, akan dibayar kepada majikan yang mencari penginapan bagi pekerja Malaysia mereka.
Today Online melaporkan kebanyakan penginapan bajet ditempah sepenuhnya, manakala sesetengah majikan tidak menjanjikan tempat tinggal untuk pekerja Malaysia mereka.
Chandra, ibu kepada 4 anak yang bekerja sebagai tukang cuci, berkata beliau akan mandi di tempat kerjanya dekat Tuas pada sebelah pagi.
Tetapi, rakyat Malaysia lain tidak bernasib baik seperti Chandra, lapor Today Online.
Antaranya Mohana Ambigai Dewi, 25 yang hilang kerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah selepas tidak hadir ke tempat kerja pada Selasa akibat kesesakan di Tambak Johor.
“Bateri telefon saya habis, jadi saya tidak boleh hubungi bos saya untuk beritahu saya tidak boleh pergi kerja,” katanya kepada Today Online.