Mahkamah tolak alasan ‘isu integriti’ pecat pekerja berkhidmat 34 tahun

Mahkamah tolak alasan ‘isu integriti’ pecat pekerja berkhidmat 34 tahun

Mahkamah Tinggi kembalikan kes Poh Kwei Wah terhadap Dindings Poultry Development Centre ke Mahkamah Perusahaan untuk taksiran pampasan.

mahkamah tinggi ipoh
Mahkamah Tinggi Ipoh membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang sebelum ini mengekalkan tindakan Dindings Poultry Development Centre memecat penolong pengurus pusat penetasannya, Poh Kwei Wah, pada 2023.
PETALING JAYA:
Bekas penolong pengurus pusat penetasan yang berkhidmat bersama Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd selama 34 tahun, menang rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap bersabit pemecatan tidak adil.

Poh Kwei Wah, 58, dituduh majikannya sebagai tidak mempunyai ‘integriti’ kerana berurusan dengan sebuah bengkel yang sebelum ini telah disenaraihitamkan pihak syarikat.

Namun, Hakim Norsharidah Awang memutuskan keputusan Mahkamah Perusahaan yang disampaikan pada 21 Okt 2023 tidak dapat dikekalkan kerana tribunal itu gagal menilai keterangan, mengakibatkan kesimpulan yang cacat.

“Keputusan tersebut diketepikan, dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Perusahaan semata-mata untuk taksiran pampasan sewajarnya,” kata hakim ketika membenarkan rayuan Poh.

Mahkamah Perusahaan diberi kuasa memberikan tunggakan gaji dengan had maksimum 24 bulan bagi pekerja tetap, dan pampasan sebagai ganti pengembalian semula kerja, yang dikira pada kadar sebulan gaji bagi setiap tahun genap perkhidmatan.

Dalam penghakiman setebal 13 halaman, Norsharidah memutuskan hukuman pemecatan dikenakan terhadap Poh ‘langsung tidak wajar’.

Yang Amat Arif mendapati, seorang pegawai kanan syarikat telah, melalui e-mel dalaman bertarikh 22 Feb 2021, memaklumkan kepada kakitangan mengenai keputusannya untuk melarang beberapa bengkel disebabkan isu ‘integriti’.

E-mel berkenaan secara nyata melarang kakitangan daripada menghantar kenderaan syarikat ke bengkel disenaraihitamkan bagi tujuan ‘penyelenggaraan dan pembaikan’.

Ketika semakan dalaman dijalankan pada awal Januari 2023, pihak syarikat mendapati Poh telah menjual tayar terpakai kepada sebuah bengkel dilarang, antara Mei 2021 dan Disember 2022.

Syarikat telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya, yang kemudiannya dijawab Poh dengan menegaskan dia bertindak dengan niat baik. Dia turut menyatakan larangan tersebut hanya berkaitan dengan perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan, bukannya pelupusan atau jualan tayar terpakai.

Poh memfailkan representasi kepada ketua pengarah perhubungan perusahaan selepas dipecat pada 10 Mac 2023, berikutan satu siasatan dalaman, yang mana perkara itu kemudiannya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Norsharidah mengambil maklum kes syarikat berkenaan bergantung hampir sepenuhnya kepada e-mel bertarikh 22 Feb itu.

Katanya, pembacaan sekali lalu terhadap e-mel itu menyatakan arahan syarikat terhad kepada urusan pembaikan dan penyelenggaraan sahaja.

“Tiada sebarang ayat yang nyata, sama ada dalam e-mel tersebut mahupun dalam mana-mana arahan bertulis susulan, yang memperluaskan larangan itu kepada penjualan atau pelupusan tayar terpakai,” kata hakim sambil menambah Mahkamah Perusahaan terkhilaf apabila menganggap e-mel itu melarang segala bentuk transaksi.

Hakim berkata, mahkamah mesti berhati-hati dalam prosiding tatatertib, terutamanya apabila ia melibatkan pemecatan, dan mengelak membuat tafsiran tersirat terhadap sesuatu arahan mengenai perkara yang tidak disampaikan secara jelas dan nyata.

“Sebarang kekaburan mestilah diselesaikan dengan memihak kepada pekerja. Prinsip asas ini tidak dipatuhi Mahkamah Perusahaan,” menurut penghakiman tersebut.

Hakim seterusnya mendapati, bagi satu tempoh masa yang panjang, syarikat itu telah ‘menerima dan mengakui tindakan perayu (Poh)’.

“Keterangan menunjukkan jualan tayar terpakai itu berlaku dalam tempoh yang lama tanpa sebarang bantahan, campur tangan, atau arahan pembetulan daripada pihak syarikat. Ini menjejaskan dakwaan syarikat bahawa tingkah laku Poh nyata menyalahi undang-undang atau secara terang-terangan mengingkari arahan,” katanya.

Norsharidah juga mendapati, tiada bukti Poh memperoleh sebarang faedah peribadi, sama ada dalam bentuk kewangan atau selainnya, daripada jualan tayar terpakai terbabit.

“Tanpa bukti keuntungan peribadi atau niat yang tidak jujur, mahkamah ini mendapati bahawa Mahkamah Perusahaan tidak wajar menyifatkan tingkah laku perayu sebagai tidak integriti atau pecah amanah,” katanya.

Norsharidah berkata, Mahkamah Perusahaan gagal mengaplikasikan prinsip kewajaran dengan betul ketika menentukan hukuman.

Hakim menyatakan, pemecatan merupakan sekatan paling berat dalam undang-undang buruh dan mestilah dikhaskan untuk kes di mana salah laku adalah sangat serius, dan hubungan pekerjaan telah terjejas sehingga tidak dapat diperbaiki lagi.

“Poh berkhidmat hampir 34 tahun dan tidak mempunyai rekod lampau disiplin, tiada bukti kerugian kewangan kepada syarikat, dan tiada penyalahgunaan jawatan untuk keuntungan peribadi,” katanya.

Sekadar menggunakan istilah ‘isu integriti’ tanpa bukti sokongan tidak mewajarkan hukuman paling berat iaitu pemecatan, putus hakim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.