
Mufti Perak, Harussani Zakaria memberitahu FMT, mufti tidak boleh menetapkan had umur minimum perkahwinan dan memaksa pematuhannya kerana ia tidak dinyatakan secara khusus dalam Islam.
Exco Johor yang menjaga hal ehwal Islam, Abdul Mutalib Abdul Rahim, berkata mufti hanya boleh mencadangkan had umur minimum perkahwinan, tetapi umat Islam di bawah umur boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk berkahwin.
Katanya, mahkamah biasanya akan meluluskan permohonan sedemikian.
Mutalib yang bersetuju dengan cadangan bekas mufti Terengganu, Ismail Yahya menyeragamkan undang-undang syariah di seluruh negara, berkata mufti perlu membincangkan saranan itu dengan majlis agama negeri, walaupun tidak banyak percanggahan antara negeri.
Pada 12 Feb lalu, Ismail dilaporkan berkata, umat Islam di Malaysia tidak dilayan secara adil kerana undang-undang syariah tidak seragam antara negeri.
Katanya, kempen menghentikan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam gagal kerana beberapa negeri membenarkan gadis berkahwin seawal usia 16 tahun.
Susulan itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dilaporkan berkata, penyeragaman undang-undang syariah bukan saja memudahkan tugas peguam syarie, tetapi rakyat akan lebih senang memahami undang-undang berkenaan.
Semalam, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata, kebanyakan enakmen syariah sudah diseragamkan antara negeri.
Katanya, ada pihak lain selain mufti yang perlu terbabit dalam proses menyeragamkan undang-undang Islam, iaitu majlis agama negeri dan sultan.