Peja tak puas hati usaha banteras kahwin bawah umur

Peja tak puas hati usaha banteras kahwin bawah umur

Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan sepatutnya mempertingkatkan lagi usaha dalam membanteras perkara itu.

Antara faktor yang menyebabkan perkahwinan bawah umur adalah pendapatan rendah dan kemiskinan, menurut Ahmad Faizal Azumu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam membanteras perkahwinan bawah umur.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan lagi usaha membanteras perkara itu supaya ia dapat diselesaikan dengan lebih baik.

“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang kita laksanakan.

“Sebenarnya kita semua sepatutnya buat kerja lebih lagi untuk memastikan permasalahan ini dapat rungkaikan lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat dalam waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian selepas Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) bertanyakan soalan tambahan mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) usaha kerajaan dalam membanteras perkahwinan bawah umur.

Kasthuri sebelum itu berkata, laporan mengatakan seramai 445 pelajar berhenti sekolah kerana alasan ingin berkahwin merupakan satu angka yang amat membimbangkan.

Dalam pada itu, Faizal berkata, antara faktor dalam kajiannya yang menyebabkan perkahwinan bawah umur adalah pendapatan rendah dan kemiskinan serta kekurangan akses kepada pendidikan dan kehadiran ke sekolah.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membendung perkara itu antaranya dengan memperbanyakkan lagi program bermanfaat agar dapat mengisi masa lapang mereka.

“Ini dapat memberi pengaruh baik rakan sebaya dalam program, membuka peluang pekerjaan dan menambah kemahiran dalam pendidikan pada usia muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.