Langkah Sarawak had umur kahwin 18 tahun perlu disambut, kata badan pemikir

Langkah Sarawak had umur kahwin 18 tahun perlu disambut, kata badan pemikir

Ia selari keutamaan kesihatan awam, cegah kehamilan remaja dan beri peluang anak muda kekal dalam pendidikan, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

Wedding ring, couple
Kerajaan Sarawak kelmarin menyatakan umur minimum perkahwinan akan dihadkan kepada 18 tahun sebagai sebahagian usaha lebih meluas membendung perkahwinan awal dan kehamilan remaja, serta menjaga kebajikan kanak-kanak dan belia. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Langkah Sarawak mengehadkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun wajar disokong sebagai usaha mengekang perkahwinan awal serta kehamilan remaja, di samping melindungi kesihatan dan masa depan golongan muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, berkata langkah itu sejajar dengan keutamaan kesihatan awam, termasuk menangguhkan kehamilan sehingga usia dewasa serta membolehkan remaja kekal dalam sistem pendidikan dan membina kemahiran untuk kehidupan stabil.

“Ini langkah penting berasaskan bukti yang menyokong keutamaan kesihatan awam – menangguhkan kehamilan sehingga dewasa, memperbaiki hasil kesihatan ibu dan anak.

“Ia juga memberi ruang kepada anak muda untuk terus bersekolah dan membangunkan kemahiran bagi kelangsungan hidup yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan Sarawak kelmarin menyatakan umur minimum perkahwinan akan dihadkan kepada 18 tahun sebagai sebahagian usaha lebih meluas membendung perkahwinan awal dan kehamilan remaja, serta menjaga kebajikan kanak-kanak dan belia.

Azrul berkata, seperti yang ditegaskan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah, perkahwinan awal berkait rapat dengan pelbagai risiko kesihatan reproduktif, mental dan sosial terhadap remaja.

“Dari sudut kesihatan, kehamilan remaja dikaitkan dengan hasil yang lebih buruk untuk ibu dan bayi, termasuk risiko komplikasi kehamilan dan kelahiran yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kesan berantai lain turut merangkumi keciciran sekolah, peluang hidup yang terhad serta risiko kemiskinan antara generasi, yang akhirnya memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Pusat Galen turut menyokong hasrat Sarawak untuk menyeragamkan umur minimum perkahwinan 18 tahun merentasi semua kerangka undang-undang di negeri itu, termasuk undang-undang sivil, syariah dan adat.

Azrul menegaskan sebarang pengecualian tidak seharusnya melemahkan perlindungan terhadap kanak-kanak dan remaja, kerana perkahwinan bawah umur bukan keperluan dan terbukti memudaratkan, khususnya kepada kanak-kanak perempuan.

“Had umur minimum yang jelas mesti digandingkan dengan langkah pencegahan praktikal untuk mengurangkan kehamilan remaja dan memperkukuh kesejahteraan remaja,” katanya.

Sehubungan itu, Pusat Galen menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan mempercepat serta memperkukuh pelaksanaan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif mesra remaja, termasuk kaunseling sulit, akses kepada kontraseptif serta penjagaan antenatal apabila diperlukan.

Selain itu, katanya, usaha mengekalkan remaja dalam sistem pendidikan perlu diperkasa melalui sokongan bersasar kepada pelajar berisiko, di samping menyediakan laluan latihan dan pekerjaan yang sesuai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.