Hidup semula pelan tangani punca perkahwinan bawah umur, gesa NGO

Hidup semula pelan tangani punca perkahwinan bawah umur, gesa NGO

Pelan Strategi Kebangsaan itu mengenal pasti beberapa punca berlakunya perkahwinan bawah umur di negara ini.

Sejak berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan pada Februari 2020, tiada sebarang petunjuk jelas sama ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan pelan berkaitan perkahwinan bawah umur.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menghidupkan semula Pelan Strategi Kebangsaan untuk menangani punca perkahwinan bawah umur yang dilancarkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kata badan bukan kerajaan (NGO) wanita.

Sisters in Islam (SIS) berkata, sejak berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan pada Februari 2020, tiada sebarang petunjuk jelas sama ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan pelan terbabit.

“Kerajaan perlu melihat semula dan mengambil tindakan menerusi pelan yang dilancarkan Januari tahun lalu,” kata jurucakap SIS kepada FMT.

Pelan strategi itu dilancarkan untuk menangani enam punca utama perkahwinan bawah umur di negara ini.

Punca itu termasuk kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang rendah, ketiadaan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan kemahiran keibubapaan, kekurangan akses pendidikan dan masalah ketidakhadiran ke sekolah.

Manakala punca lain yang dikenal pasti termasuk stigma masyarakat bahawa perkahwinan sebagai pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah, kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun dan kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur.

Pelan itu terdiri daripada tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program membabitkan program jangka pendek, sederhana dan panjang untuk dilaksanakan bermula 2020 hingga 2025.

Ia menggariskan penglibatan 61 agensi secara berperingkat termasuk agensi kerajaan persekutuan, negeri, NGO dan pertubuhan antarabangsa.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga bersetuju pelan itu harus dihidupkan semula.

“Kerajaan perlu mempunyai keazaman politik untuk menghapuskan perkahwinan bawah umur dan mengikuti pelan strategi itu.

“Pelaksanaannya mesti dipantau untuk memastikan perkahwinan ini diharamkan,” kata jurucakap WAO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.