Pemimpin agama mesti pimpin pembaharuan hapus kahwin bawah umur, kata Ahli Parlimen

Pemimpin agama mesti pimpin pembaharuan hapus kahwin bawah umur, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata selain pemimpin agama, sokongan masyarakat juga diperlukan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata masih perlu ada konsensus masyarakat mengenai penghapusan perkahwinan bawah umur.
PETALING JAYA:
Pemimpin agama harus memimpin pembaharuan dan perubahan bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur di negara ini, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bercakap di sebuah forum semalam, beliau berkata ia lebih bermakna sekiranya isu mengenai perkahwinan bawah umur itu diutarakan sendiri oleh pemimpin agama.

“Namun, sokongan masyarakat masih diperlukan untuk menghapuskan perkahwinan bawah umur ini,” katanya.

“Kita perlu mengadakan pertemuan dengan mufti untuk meyakinkan mereka bahawa ini adalah langkah terbaik.”

“Rundingan perlu dilakukan pada satu jangka masa ditetapkan antara semua negeri dan ketua menteri. Ia tidak boleh hanya melibatkan dari segi luaran semata-mata,” katanya.

Syed Saddiq juga berkata, usaha lebih aktif perlu dilakukan bagi mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan isu menaikkan had umur minimum perkahwinan.

Katanya, usaha juga boleh dilakukan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak istana.

“Saya percaya kebanyakan daripada mereka adalah progresif dan mahu langkah ini diambil,” katanya.

Aktivis dan pengasas bersama Project Girls 4 Girls Izzana Salleh berkata, selain undang-undang terdapat cabaran dari segi hukum agama dan budaya berhubung isu untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan.

“Secara budayanya, terdapat gambaran buruk yang diberikan terhadap mereka yang mempersoalkan perkara ini.”

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal berkata data mereka menunjukkan sebanyak 692 perkahwinan bawah umur didaftarkan tahun lalu, berbanding 785 pada 2019 dan 1,144 pada 2015.

Sementara itu, Ketua Perlindungan Kanak-Kanak Unicef Malaysia Sarah Norton-Staal berkata, terdapat “trend peningkatan” bagi perkahwinan bawah umur di negara ini, kemungkinan akibat daripada pandemik, yang mungkin “meningkatkan faktor risiko untuk perkahwinan bawah umur”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.