
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata Wan Zahidi yang kini pengerusi jawatankuasa muzakarah majlis kebangsaan bagi hal ehwal ugama Islam Malaysia dan berasal dari Gerik, merupakan tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.
“Beliau memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.
“Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti pakar perunding Yayasan Dakwah Islamiah, rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Mufti Wilayah Persekutuan dan felo kehormat kanan Universiti Islam Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pada 30 Mei 2021, Harussani Zakaria, 82, yang dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan Covid-19.