Jabatan Kesihatan sita klinik tanpa lesen, jual MC

Jabatan Kesihatan sita klinik tanpa lesen, jual MC

Sumber berkata, Jabatan Kesihatan Negeri menarik lesen klinik itu pada 10 Dis lalu, ia terus beroperasi dan menjual sijil cuti sakit yang difahamkan berharga RM10.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib mengesahkan klinik itu disita serta disiasat di bawah Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Sebuah klinik swasta di Lebuh Naning, di sini disita kerana beroperasi tanpa lesen dan menjual sijil cuti sakit kepada orang ramai tanpa perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Klinik yang beroperasi sejak 16 tahun lalu itu disita dalam operasi 3 petang semalam oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat CKAPS JKN, Bahagian Farmasi membuat pemeriksaan di klinik itu pada 2018 dan memberi amaran kerana mempunyai ubat tamat tarikh luput, sistem pendaftaran serta rekod kesihatan pesakit tidak teratur.

Sumber berkata, pemeriksaan berikutnya mendapati keadaan masih sama dan JKN menarik lesen klinik itu pada 10 Dis tahun lalu, tetapi pemantauan mendapati ia masih beroperasi dan menjual sijil cuti sakit yang difahamkan berharga RM10 sehari.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi Bernama mengesahkan klinik itu disita serta disiasat di bawah Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.