Peraturan papar harga ubat dikuat kuasa penuh tahun depan, mahkamah diberitahu

Peraturan papar harga ubat dikuat kuasa penuh tahun depan, mahkamah diberitahu

Menteri kesihatan berkata, kerajaan sedang 'didik' klinik mengenai peraturan itu, yang berkuat kuasa secara rasmi pada Mei.

pharmacy pharmacist
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan jalan kajian banding harga ubat antara Malaysia dengan negara lain sebelum buat keputusan wajibkan harga ubat dipapar di klinik. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan mewajibkan harga ubat dipaparkan di fasiliti kesihatan swasta bermula Januari 2026, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini, kerajaan masih dalam proses ‘mendidik’ klinik-klinik mengenai peraturan itu.

“Dalam tempoh ini, surat amaran akan dikeluarkan (kepada klinik) atas ketidakpatuhan,” katanya dalam afidavit menjawab permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap beliau dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Bulan lepas, tujuh kumpulan kesihatan dan seorang doktor memohon kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kerajaan yang menghendaki mereka memaparkan harga ubat di premis masing-masing.

Mereka berhujah, Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (Akta 723) tidak boleh terpakai ke atas ubat-ubatan yang dikeluarkan oleh pengamal kesihatan, kerana ia sudah diperuntukkan di bawah Seksyen 19 Akta Racun 1952 (Akta 366).

Mereka juga mendakwa, klinik yang dikendalikan oleh pengamal kesihatan berdaftar tidak boleh dianggap sebagai membekalkan ‘barangan dan perkhidmatan’ di bawah Seksyen 10 Akta 723.

Menceritakan semula peristiwa yang mendorong kerajaan melaksanakan dasar ini, Dzulkefly berkata, sejak 20 tahun lalu, orang awam, bahkan Ahli Parlimen mempersoalkan harga ubat di klinik swasta yang mahal.

Menurutnya, kerajaan menjalankan kajian perbandingan harga ubat antara Malaysia dengan negara lain, serta mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas.

“Sesi rundingan awam diadakan tahun lepas, dan kebanyakan pihak berkepentingan bersetuju dengan usul paparan harga ini,” katanya.

“Berdasarkan maklum balas mereka, usul ini kaedah paling berkesan untuk memastikan ketelusan harga dan bagi membolehkan orang ramai (atau pesakit) membuat keputusan yang termaklum.”

Mahkamah menetapkan 4 Sept untuk pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.