
Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata keputusan itu yang digazetkan dengan hanya notis satu hari, bercanggah dengan komitmen yang dibuat Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, awal tahun ini.
“Dalam pertemuan mengenai ketelusan harga pada Februari lalu, menteri dengan jelas menyatakan bahawa arahan mempamerkan harga perubatan di pusat perubatan swasta hanya akan dilaksanakan selepas semakan semula kadar yuran GP yang telah lama tertangguh.
“Malangnya, komitmen itu tidak dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kalwinder, Dzulkefly juga berjanji untuk mengadakan satu lagi sesi libat urus bersama MMA dan pihak berkepentingan lain bagi menangani kebimbangan berkaitan dasar berkenaan, namun tiada pertemuan seperti itu berlaku.
Katanya, satu permohonan berasingan oleh MMA untuk bertemu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut tidak menerima sebarang maklum balas.
Terdahulu hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPDN mengumumkan akan meneruskan langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di pusat perubatan am berkuat kuasa esok — langkah yang dibantah keras MMA dan beberapa kumpulan perubatan lain.
Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya dikuat kuasa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
Kumpulan itu juga mendesak ia ditangguhkan sehingga isu utama seperti semakan semula yuran GP diselesaikan. Yuran GP tidak berubah sejak lebih 30 tahun.
Kalwinder berkata doktor di seluruh negara kini berasa ‘kecewa dan marah’ dengan apa yang disifatkan MMA sebagai penguatkuasaan berlebihan di bawah undang-undang bukan berkaitan perubatan.
“Dengan mengambil kira semua isu yang masih belum diselesaikan ini, MMA mendesak kerajaan untuk menghentikan pelaksanaan mempamerkan harga ubat di klinik swasta.
“Ini bagi memberi ruang kepada perbincangan dan penyelesaian menyeluruh terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, termasuk keperluan mendesak untuk semakan semula yuran GP serta perbincangan lanjut mengenai mekanisme dan skop dasar paparan harga ubat,” katanya.