
Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli, berkata pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tiada cukai jalan Malaysia.
“Operasi khas ini kita laksanakan bermula 9 Ogos lalu hasil maklumat risikan berhubung aktiviti segelintir pemandu kenderaan asing yang mengambil penumpang tanpa permit sah.
“Antara kenderaan yang disita termasuk Toyota Alphard, Vellfire, Honda Spada dan Toyota Hiace yang dipandu warga Singapura bagi membawa pelancong.
“Tindakan diambil di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(1) akta sama,” katanya, menurut Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata pihaknya juga mendapati perkhidmatan itu menawarkan tambang mencecah ratusan dolar Singapura iaitu SGD180 (RM630) bagi bayaran ke Johor Bahru (JB) Sentral, SGD200 (RM700) ke Iskandar Puteri dan sehingga SGD1,200 (RM4,200) bagi perjalanan ke Ipoh.
Menurutnya, pemandu mengunakan modus operandi dengan aplikasi Telegram serta pelekat khas bagi mengenal pasti penumpang yang telah membuat tempahan.
“Sebelum ini, kita lebih kepada advokasi dan memberi penerangan bahawa perbuatan ini salah.
“Tetapi, mulai minggu ini, tiada lagi kompromi. Kita akan tahan dan ambil tindakan tegas termasuk proses lucut hak kenderaan,” katanya.
Selain itu katanya, JPJ akan melaksanakan operasi itu secara berterusan di beberapa kawasan tumpuan pelancong di Johor termasuk Legoland dan Danga Bay.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini.
“Perkhidmatan e-panggilan sah wujud di Malaysia, maka kenderaan dari luar negara perlu berurusan dengan pihak berkuasa sebelum dibenarkan beroperasi.
“Kita tidak mahu insiden buruk terutamanya berlaku kemalangan melibatkan pelancong asing. Ia bukan hanya membahayakan nyawa penumpang dan pemandu tetapi boleh menjejaskan hubungan dua negara,” katanya.