Haji, perbankan Islam seragam, kenapa tidak undang-undang syariah, kata bekas mufti

Haji, perbankan Islam seragam, kenapa tidak undang-undang syariah, kata bekas mufti

Ismail Yahya berkata undang-undang Islam yang tidak seragam antara negeri menyebabkan orang Islam tidak dilayan secara adil.

Bekas mufti Terengganu Ismail Yahya berkata kempen menghentikan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam buntu kerana set undang-undang syariah yang berlainan di semua negeri.
PETALING JAYA:
Orang Islam di Malaysia tidak dilayan secara adil kerana undang-undang syariah yang tidak seragam antara negeri, kata seorang bekas mufti Terengganu.

Ismail Yahya berkata sebab itulah kempen menghentikan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam buntu kerana beberapa negeri ada kuasa membenarkan perempuan berusia semuda 16 tahun berkahwin.

Ismail berkata pihak berkuasa harus mengamalkan sistem mahkamah tunggal dengan undang-undang Islam yang seragam.

“Mereka kata ‘nak ikut undang-undang Islam atau yang kita buat?’. Cuba beritahu saya di mana agama menetapkan kadar umur 16 tahun, 15 tahun, 11 tahun, atau 9 tahun. Mana dia?” kata Ismail, seorang bekas ketua hakim syariah di Terengganu, dalam temubual dengan FMT baru-baru ini.

Ismail menegaskan kematangan fizikal dan mental 2 perkara berlainan dalam Islam.

Beliau berkata ada keperluan untuk membezakan baligh sin (matang fizikal) dan baligh rushd (matang mental).

Ini kerana matang fizikal tidak bermakna seseorang itu bersedia untuk dunia perkahwinan dan serta memikul tanggungjawabnya.

Atas sebab itu sarjana-sarjana Islam bersetuju usia 18 tahun usia seseorang baligh rushd.

“Sesetengah mazhab berpendapat 23 tahun, tapi bila bincang dalam kalangan semua ulama, titik pertemuannya paling minimum 18 tahun,” katanya.

“Itu sebab kita kata dasar 18 tahun itu bukan ikut undang-undang sivil tapi pendapat fiqah berdasarkan pandangan mazhab-mazhab.”

Beliau berkata malangnya banyak kes perkahwinan bawah umur dijadikan cara untuk “selesaikan” masalah kehamilan luar nikah atau kemiskinan.

Ismail berkata set undang-undang Islam yang seragam penting untuk pastikan keadilan.

Beliau tidak bersetuju dengan hujah mengatakan ia boleh melemahkan kuasa raja-raja sebagai ketua-ketua Islam.

“Status sultan tidak turun kerana mereka masih ketua agama. Banyak lagi bidang agama yang raja boleh tentukan dan ada lagi kuasa lain seperti hak Melayu, pengampunan, dan isytihar raya. Kuasa itu tidak hilang.”

Beliau mengambil contoh Tabung Haji dan perbankan Islam sebagai kisah kejayaan pemusatan perkara-perkara berkaitan Islam.

Katanya, haji urusan negeri sebelum Tabung Haji ditubuhkan pada 1963.

“Bidang kuasa Islam bukan bawah kerajaan persekutuan tetapi kenapa TH ditubuh? Sebab kebajikan. Ia mengenai rakyat dan bukannya agama. Rakyat dilindungi dan akibatnya sangat baik,” katanya.

Sama juga dengan perbankan Islam, di mana ia dikawal selia di peringkat pusat dan bukan bidang kuasa negeri kerana ia mengenai perbankan dan bukannya agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.