Yeoh serah telefon bimbit, kata laluan FB, Twitter kepada polis

Yeoh serah telefon bimbit, kata laluan FB, Twitter kepada polis

Ahli Parlimen Segambut itu tampil ke Bukit Aman untuk siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

KUALA LUMPUR:
Pemimpin DAP, Hannah Yeoh menyerahkan telefon bimbit dan kata laluan akaun Facebook dan Twitter kepada polis dalam siasatan berhubung suatu muat naik di Facebook yang dikaitkan dengannya, dan catatan di Twitter berhubung Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, 3 bulan lalu.

Ditemui pemberita di Bukit Aman selepas diambil keterangan, ahli Parlimen Segambut itu berterima kasih atas sikap profesional dan integriti tinggi yang ditunjukkan polis pada sesi hari ini.

“Saya sudah berikan kerjasama pada polis,” katanya selepas 1 jam disoal penyiasat hari ini.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat itu disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan berkenaan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkenaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Berkenaan muat naik di Facebook, Yeoh memaklumkan kepada polis muat naik itu merupakan “kenyataan palsu yang saya tidak pernah cakap” dan “dibuat pihak tidak bertanggungjawab”.

“Ini juga sudah dijelaskan melalui media sosial saya pada 11 Mac,” katanya.

Yeoh diiring keluar dari Bukit Aman oleh peguamnya, Gobind Singh Deo.

“Jika mereka perlu bantuan lagi, mereka akan hubungi kita,” kata peguam itu kepada pemberita. “Kita harap polis dapat lakukan siasatan dengan secepat mungkin.”

Berkenaan catatan di Twitter, yang dibuat pada 9 Mac, Yeoh dilaporkan mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Yusof daripada PAS.

Pelan itu, yang dilancarkan pada Januari, bertujuan untuk memastikan peraturan, garis panduan, dan undng-undang di peringkat negeri sejajar dasar persekutuan, dan mengandungi 6 faktor yang dikenal pasti punca perkahwinan kanak-kanak seperti kemiskinan dan kekurangan akses kepada pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.