Saudi akan hukum penduduk langgar larangan ke China

Saudi akan hukum penduduk langgar larangan ke China

Ekspatriat yang melanggar larangan itu, akan dihalang pulang ke Arab Saudi.

Bahrain, Kuwait dan Oman menasihatkan rakyatnya tidak berkunjung ke China, tetapi tanpa sebarang paksaan. (Gambar AFP)
RIYADH:
Arab Saudi akan menghukum rakyatnya dan warga asing di negara itu yang melanggar larangan ke China, media kerajaan mengumumkan penalti itu pada Khamis.

“Lawatan ke China oleh warganegara dan penduduk (asing) digantung berdasarkan langkah kesihatan pencegahan yang dilaksanakan kerajaan terhadap virus itu,” lapor agensi berita rasmi SPA.

Ekspatriat yang melanggar larangan itu, akan dihalang pulang ke Arab Saudi.

Wabak koronavirus di China semakin buruk dengan angka korban meningkat kepada 563 orang hari ini, ketika ribuan orang terpaksa dikuarantin dalam beberapa kapal pelayaran.

Lebih 28,000 orang disahkan positif koronavirus di China dan pihak berkuasa bergelut mengawal penularan virus itu yang menyaksikan perintah berkurung dilaksanakan di Wuhan serta bandar berdekatan.

Sebanyak 24 negara mencatatkan kes positif koronavirus yang disyaki berpunca daripada sebuah pasar menjual haiwan eksotik di Wuhan akhir tahun lalu.

Saudi bukan sebuah daripada negara itu, walaupun negara jirannya Emiriah Arab Bersatu melaporkan 5 kes yang semuanya membabitkan warga China dari Wuhan.

Negara lain di rantau Teluk itu seperti Bahrain, Kuwait dan Oman menasihatkan rakyatnya tidak mengunjungi China, tetapi tanpa sebarang paksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.