Saudi tegas tiada normalisasi dengan Israel selagi tak tubuh negara Palestin

Saudi tegas tiada normalisasi dengan Israel selagi tak tubuh negara Palestin

Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan berkata tiada logik atau kredibiliti bercakap soal normalisasi ketika kematian, penderitaan dan kemusnahan terus berlaku di Gaza.

Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan menekankan tidak wajar berbicara tentang normalisasi dengan Israel, selagi serangan berdarah masih berterusan di Gaza. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Arab Saudi menegaskan ia tidak akan menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel selagi tiada penubuhan negara Palestin dan perang di Gaza tidak dihentikan.

Kenyataan itu dibuat Menteri Luarnya, Putera Faisal bin Farhan dalam sidang media di New York bersama rakan sejawat dari Perancis, Jean-Noel Barrot.

Sidang media itu diadakan selepas mereka menyertai persidangan antarabangsa mengenai pelaksanaan penyelesaian dua negara anjuran Saudi dan Perancis, menurut laporan Anadolu Ajansi.

“Bagi kerajaan Arab Saudi, sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel sangat bergantung kepada penubuhan negara Palestin,” jelas Putera Faisal ketika menjawab pertanyaan berhubung kemungkinan Riyadh menyertai semula usaha seperti Perjanjian Abraham.

Pada 2020, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi menandatangani perjanjian tajaan Amerika Syarikat bagi menormalisasi hubungan mereka dengan Israel.

“Kami berharap konsensus yang jelas hari ini dan dijangka berterusan esok serta momentum ke arah penubuhan negara Palestin dapat membuka ruang kepada perbincangan mengenai normalisasi.”

Putera Faisal turut menekankan tidak wajar berbicara tentang normalisasi dengan Israel, selagi serangan berdarah masih berterusan di Gaza.

“Tiada sebarang logik atau kredibiliti untuk bercakap soal normalisasi sementara kematian, penderitaan dan kemusnahan terus berlaku di Gaza.”

Dalam ucapan pembukaan persidangan itu, Putera Faisal mengalu-alukan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

“Langkah ini mencerminkan komitmen serius masyarakat antarabangsa terhadap usaha menegakkan hak sah rakyat Palestin.”

Macron sebelum ini memaklumkan Perancis akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) September ini.

Setakat ini, 149 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin – terus meningkat sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Persidangan dua hari itu bagi menghidupkan semula rundingan damai dan memperkukuh pelaksanaan penyelesaian dua negara, yang sekian lama menjadi harapan masyarakat antarabangsa bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.