
Mungkin anda merupakan salah seorang yang pernah mendengar petua atau tip sebegini, minum jus atau makan epal hijau untuk merawat darah tinggi.
Adakah benar terdapat khasiat epal hijau untuk darah tinggi? Bagaimana pula dengan epal merah?
Adakah epal benar-benar berkhasiat untuk tekanan darah tinggi dan kolesterol?
Sekiranya anda salah seorang individu yang sedang mencuba mengawal tekanan darah dan memperbaiki tahap kolesterol tubuh, memakan epal mungkin boleh membantu anda.
Tetapi ia bukanlah terhad kepada buah epal hijau semata-mata.
Mengapa? Kerana epal lain seperti epal merah juga mengandungi kandungan serat tidak larut air yang boleh menurunkan kadar kolesterol.
Selain itu, epal juga mempunyai serat larut yang membantu penghadaman, gula yang sihat serta fitonutrien yang bekerjasama memberikan manfaat pada tubuh anda.
Buah epal juga boleh membantu anda mengawal berat badan dan mengurangkan risiko masalah berkaitan kardiovaskular disebabkan kandungan kalori yang rendah dalam buah epal ini.
4 epal sehari
Menurut Dr. Sarah Brewer, seorang pakar pemakanan, anda boleh mengurangkan risiko hipertensi atau darah tinggi dengan memakan sekitar 4 biji epal setiap hari.
Menurut kajian dari Brigham dan Hospital Wanita di Boston, Amerika Syarikat pada tahun 2016, memakan 4 biji epal atau lebih setiap hari boleh membantu mengurangkan risiko darah tinggi sehingga 9%.
Menurut Dr. Sarah lagi, buah epal kaya dengan kandungan antioksidan yang disebut sebagai flavonoids, yang bertindak sebagai ACE inhibitor (perencat).
Quercetin antioksidan yang terdapat dalam kandungan buah epal, mempunyai kesan perlindungan pada saluran darah untuk meningkatkan keanjalannya.
Menurut Dr. Sarah, kajian telah menunjukkan bahawa memakan buah epal bukan sahaja dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk mendapat tekanan darah tinggi, malah ia juga mengurangkan risiko komplikasi-komplikasi yang dikaitkan dengan darah tinggi tersebut seperti serangan jantung dan strok.
Bagi melindungi diri daripada risiko mengalami strok, mereka yang memakan banyak buah epal mempunyai 41% risiko yang lebih rendah untuk mendapat strok trombotik, berbanding dengan mereka yang hanya memakan sedikit buah epal.
Serat larut dan serat tidak larut
Mengekalkan berat badan yang sihat dan ideal adalah amat penting untuk memastikan tahap tekanan darah berada pada kadar yang selamat.
Dengan memakan epal, ia dapat membantu anda mengurangkan berat badan atau mengekalkan berat badan semasa anda.
Untuk pengetahuan anda, setiap biji epal yang bersaiz sederhana tidak mengandungi sebarang lemak dan hanya mengandungi 95 kalori.
Ia juga memberikan anda 4g serat yang menyebabkan anda mudah untuk membuang air dan mengenyangkan perut anda untuk jangka masa yang lama.
Buah epal mengandungi kedua-dua jenis serat larut air dan serat tidak larut air, yang mempercepatkan penghadaman dan juga mempunyai khasiat merendahkan kadar kolesterol tubuh pemakannya.
Kandungan asid urik
Kepekatan darah yang tinggi dengan kandungan asid urik mempunyai kesan antioksidan yang membantu tubuh anda melawan radikal bebas.
Asid urik plasma yang tinggi mungkin mengurangkan risiko anda untuk mendapat beberapa keadaan kardiovaskular yang kronik, termasuklah tekanan darah tinggi dan kolesterol.
Menurut Linus Pauling Institute, Oregon State University, buah epal tidak mengandungi asid urik.
Bagaimanapun, gula semula jadi yang terdapat dalam buah ini masih lagi meningkatkan kandungan asid urik dalam darah.
Apabila anda memakan sebiji epal, hati anda akan memetabolisme fruktosa buah ini dengan cepat, merangsang pengeluaran asid urik dan meningkatkan aktiviti antioksidan dalam badan anda.
Kesihatan jantung
Pengambilan buah epal sememangnya mempunyai perkaitan yang jelas dengan pengurangan risiko masalah berkaitan kardiovaskular.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2003, para penyelidik mendapati bahawa pengambilan epal telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kedua-dua penyakit kardiovaskular dan peristiwa kardiovaskular.
Menurut kajian tersebut lagi, wanita yang memakan epal dengan kerap mempunyai 13% hingga 22% pengurangan risiko penyakit kardiovaskular.
Kajian tersebut adalah berdasarkan Kajian Kesihatan Wanita, iaitu satu tinjauan yang dilakukan terhadap hampir 40,000 orang wanita dan memeriksa perkaitan antara flavonoid atau pigmen berasaskan tumbuhan dengan kemampuan antioksidan dan penyakit kardiovaskular.
Adakah terdapat alternatif lain selain buah epal?
Ya, anda perlu meningkatkan pengambilan buah-buahan yang kaya dengan kandungan kalium (potasium) untuk membantu anda menurunkan tekanan darah tinggi.
Anda disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya 5 jenis buah-buahan atau sayur-sayuran setiap hari untuk meningkatkan pengambilan kalium dan menurunkan tekanan darah anda.
Satu bahagian hidangan adalah sekitar 80g, iaitu dengan anggaran saiz sebesar genggaman tangan anda. Jumlah tersebut mewakili satu bahagian seperti yang dicadangkan:
- Sebiji buah dengan saiz yang sederhana (epal, buah oren, pear dan pisang)
- Dua biji buah dengan saiz yang kecil (plum, aprikot)
- Satu potong buah yang bersaiz besar (tembikai, nanas dan mangga)
- Dua atau tiga sudu makan buah beri atau anggur
- Segelas (150ml) jus buah-buahan
- Satu sudu makan buah-buahan kering
Berikut pula adalah jenis buah-buahan tertentu yang kaya dengan kalium dan mungkin sangat membantu dalam mengawal tekanan darah:
- Puri dan jus tomato
- Jus oren
- Buah pisang
- Buah aprikot
Jenis makanan yang perlu dielakkan untuk mengawal tekanan darah tinggi
Seperti yang anda maklum, terdapat beberapa jenis makanan yang boleh meningkatkan tekanan darah tinggi anda.
Anda boleh mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan pengambilan jenis-jenis makanan berikut:
Garam
Garam boleh meningkatkan tekanan darah secara signifikan. Berdasarkan kajian pada tahun 2013, mengurangkan pengambilan garam sebanyak 4.4 gram setiap hari dapat mengurangkan tekanan darah diastolik dan sistolik dengan ketara
Kafein
Kafein yang terkandung dalam minuman seperti kopi, teh, minuman bergas dan minuman tenaga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dalam tempoh yang singkat
Alkohol
Pengambilan minuman beralkohol dengan banyak atau secara berlebihan boleh menyebabkan peningkatan dramatik dalam tekanan darah tinggi. Selain itu, pengambilan alkohol yang terlalu kerap dan banyak juga meningkatkan risiko untuk mendapat kegagalan jantung, strok, kanser dan obesiti
Secara umumnya, buah epal dapat membantu anda mengurangkan tekanan darah yang tinggi, dan ia tidak terhad kepada jenis epal hijau sahaja.
Selain itu, jangan lupa untuk memakan buah-buahan yang tinggi dengan kandungan kalium seperti buah pisang.
Buah pisang boleh didapati dengan harga yang murah, malah anda boleh menanam pokoknya di halaman rumah anda tanpa sebarang penjagaan yang ketat dan serius.
Jika doktor ada memberikan preskripsi ubat-ubatan untuk mengawal darah tinggi anda, jangan sesekali meninggalkan pengambilannya walaupun anda kerap memakan buah epal.
Epal sahaja tidak mencukupi untuk mengawal keadaan tekanan darah tinggi anda.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]