Dzulkefly angkat cadangan tebus SARA beli buah, sayuran

Dzulkefly angkat cadangan tebus SARA beli buah, sayuran

Menteri kesihatan memuji idea itu sebagai 'sangat baik'.

Sebuah badan pemikir kesihatan seru kerajaan memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam senarai barangan boleh dibeli menggunakan SARA, bagi meningkatkan tabiat pemakanan baik rakyat.
SEPANG:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengalu-alukan cadangan supaya kerajaan membenarkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan bantuan tunai membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

“Cadangan itu sangat baik dan saya akan angkat cadangan itu untuk pertimbangan,” katanya pada sidang media.

Awal bulan ini, badan pemikir Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa kerajaan memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan SARA, bertujuan meningkatkan tabiat pemakanan mereka.

Usaha itu disokong oleh Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan, yang menyeru agar dasar-dasar diwujudkan bagi membolehkan lebih banyak makanan berkhasiat yang mampu milik untuk orang ramai.

Dzulkefly sasar pertengahan 2026 haram vape

Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berkata kerajaan kekal komited mengharamkan produk vape. Beliau berkata sasaran melaksanakan larangan itu sekitar pertengahan 2026.

“Kita telah menyebutkan bahawa usaha untuk akhirnya mengharamkan vape. Tetapi, yang mustahaknya untuk saya sebutkan bila…saya tidak boleh mendahului keputusan Kabinet,” katanya.

Menteri itu berkata, satu jawatankuasa pakar telah memberikan cadangannya, yang akan diperincikan apabila memorandum terakhir dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya berharap ia akan berlaku pada pertengahan 2026. Jika tidak, pada separuh kedua tahun itu. Tetapi, anda perlu ingat bahawa terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Namun begitu, kami memang mahu mengharamkan (vape).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.