
“Saya menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan dan tarif,” katanya ketika tiba di Pusat Kennedy di Washington DC.
Trump mempertahankan pendekatan tarifnya lebih baik bagi tujuan keselamatan negara.
“Jika kita menggunakan laluan tarif lain, dan memang ada pilihan lain boleh diambil, ia tidak akan memberi keselamatan negara yang sama seperti cara ini. Cara ini pantas dan sangat berkuasa.”
Mengenai kebimbangan hasil tarif patut digunakan untuk mengurangkan hutang negara, bukannya membiayai dividen, Trump berkata: “Kita akan lakukan. Saya setuju, tetapi saya juga fikir kita dapat begitu banyak hasil melalui tarif sehingga kita juga dapat menyediakan dividen baik kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.”
Beliau sebelum ini mencadangkan penggunaan hasil tarif untuk membiayai “dividen tarif USD2,000” sebagai bayaran terus kepada kebanyakan rakyat AS, namun Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, dividen itu “boleh hadir dalam pelbagai bentuk” dan tidak semestinya cek.
Terdahulu, Trump menulis di platform Truth Social miliknya, kaedah tarif yang sedang dipertimbangkan Mahkamah Agung AS ketika ini “lebih langsung, kurang membebankan dan jauh lebih pantas” berbanding alternatif lain.
“Kelajuan, kekuatan dan kepastian sentiasa menjadi faktor penting untuk menyelesaikan tugas dengan cara berkekalan dan berjaya.”