
Nelayan darat, Abdul Wahab Kamis, 65, berkata nasib kira-kira 60 orang nelayan tidak mendapat pembelaan daripada pihak berwajib apabila keluhan dan aduan terhadap kegiatan pelancong Thailand itu tidak dipedulikan.
Beliau berkata nelayan asing itu biasanya datang pada musim kemarau iaitu bermula pada hujung Disember hingga awal Mac .
“Bila tiba musim kemarau sahaja pasti kelihatan ramai nelayan asing yang masuk dengan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan mereka akan melakukan aktiviti menjala dan memukat tepi darat tanpa sekatan pihak berkuasa.
“Lebih menggusarkan, mereka mengaut hasil tangkapan lebih banyak berbanding dengan kami nelayan disini.
“Pelancong asing itu bebas memukat dan menjala ikan tanpa sebarang pengawasan atau sekatan daripada pihak berkuasa…mereka tangkap ikan untuk dijual bukanya datang sebagai pelancong,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Wahab berkata biarpun sudah beberapa kali permasalahan itu diajukan kepada Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Perlis dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, aduan mereka hanya sia-sia dan lebih mendukacitakan, kedua-dua pihak “main tarik tali”.
“Saya dan rakan-rakan pernah beberapa kali bertemu JPM, tapi mereka kata tiada kuasa boleh tangkap atau larang nelayan asing.
“JPS pun kita ada beritahu tapi mereka kata di luar bidang kuasa…mereka pantau pencerobohan tetapi tiada kuasa sekat kegiatan nelayan asing, jadi di mana saluran sesuai untuk kami mengadu?” katanya sambil mencampak jala ke dalam tasik.
Sementara itu, Zulkifli Othman, 60 berkata mereka juga tidak menolak kemungkinan kewujudan ikan pemangsa spesies “Peacock Bass” atau Ikan Raja juga berpunca daripada nelayan asing yang mahu merosakkan ekosistem atau hasil selain “test market” dengan melakukan pembiakan ikan itu di sini.
“Jika sebelum ini kami tidak pernah jumpa ikan raja di sini, namun sejak 3 tahun lepas nelayan di sini berdepan masalah lambakan ikan pemangsa itu.
“Ikan itu tiada harga sangat dan tiada sambutan daripada pembeli berbanding ikan lain seperti talapia, lampam dan haruan sekaligus menjejaskan pendapatan kami sebagai nelayan darat,” katanya.
Zulkifli berkata, mereka tidak meminta lebih sekadar mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut.