Nelayan Vietnam ‘naik tocang’, libas penguat kuasa negara lepas ceroboh

Nelayan Vietnam ‘naik tocang’, libas penguat kuasa negara lepas ceroboh

Dua pegawai dan anggota maritim cedera rusuk kiri, tangan, dan kaki manakala seorang lagi jatuh laut ketika bergelut.

Khairul Anuar Abd Majid
Pengarah Maritim Terengganu Khairul Anuar Abd Majid berkata sebuah kapal penguat kuasa Vietnam juga cuba mengganggu tugas maritim negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pegawai dan anggota maritim cedera, manakala seorang lagi jatuh laut selepas nelayan Vietnam melibas objek tajam, ketika menceroboh perairan negara, pada jarak 125 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Khairul Anuar Abd Majid, berkata bukan setakat itu, sebuah kapal penguat kuasa Vietnam juga cuba mengganggu tugas maritim.

Katanya, kejadian menyebabkan mangsa cedera di bahagian rusuk kiri, tangan serta kaki.

“Ketika pasukan kami memeriksa dan menggeledah bot berkenaan, semua nelayan asing tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang pegawai dan anggota maritim.

“Akibat serangan itu, dua cedera ketika mempertahankan diri, manakala seorang lagi anggota terjatuh ke dalam laut semasa pergelutan sebelum diselamatkan kru KM Rawa.

“KM Rawa kemudian bertindak mengusir bot nelayan dan kapal penguat kuasa Vietnam keluar dari perairan negara bagi mengawal situasi getir itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kapal peronda KM Rawa kemudian berpatah balik ke Jeti Maritim Malaysia Terengganu sebelum pegawai dan anggota tercedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Mereka yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil namun masih dipantau pihak hospital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.