
Pengarah Maritim Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata bot terbabit ditahan peronda yang sedang meronda di 106 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, semalam.
Enam nelayan dari Vietnam termasuk tekong berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri permit kerja yang sah.
“Mereka juga tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan,” katanya lapor Berita Harian.
Maritim menyita bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut, dan bekalan minyak diesel dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM1 juta.
Tangkapan ini merupakan yang keenam membabitkan bot nelayan Vietnam, dengan yang terakhir berlaku pada awal bulan ini membabitkan tiga bot bersama 18 kru.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran, dan Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.