
Thomas Benjamin Daniel dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) berkata kepada FMT: “Pertikaian Laut China Selatan yang semakin besar, dan peranan dominan China di dalamnya memberi kesan kepada nelayan Sabah dan Sarawak.
“Selain laporan nelayan China menangkap ikan secara haram di perairan negara, China juga memaksa nelayan Vietnam menangkap ikan di belah selatan lalu masuk ke perairan kita.
“Kapasiti Malaysia untuk memantau kawasan perairan yang begitu luas juga terhad.”
Kekurangan teknologi penguatkuasaan dan pengawasan memudahkan orang asing menceroboh perairan negara.
China mendakwa hampir seluruh Laut China Selatan miliknya, yang ditandakan dengan 9 garis putus. Mahkamah antarabangsa pada 2016 mengisytiharkan tuntutannya – yang bertindih dengan tuntutan Vietnam, Malaysia, Brunei, Taiwan, dan Filipina – tiada asas undang-undang. Beijing menolak keputusan itu.
Kapal besar buli nelayan tempatan
Ketua persatuan nelayan Sabah di daerah Kota Kinabalu, Arsit Sedi, memberitahu FMT bot nelayan tempatan biasanya hanya menangkap ikan dalam jarak 50km dari pantai.
Tetapi, katanya, timbul masalah dengan bot asing dari Vietnam, Thailand, dan China yang menceroboh zon tangkapan mereka.
“Kapal mereka jauh lebih besar berbanding kita, dan mereka akan rempuh kapal kecil kita. Kita tak boleh nafikan ini. Tetapi biasanya tak ada laporan terperinci dari mangsa,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, ketua persatuan di daerah Kota Belud, Makbul Matdin juga menyokong fakta itu, mengatakan walaupun nampak seperti tiada kesan langsung dan nyata dari konflik Laut China Selatan itu, pencerobohan kapal nelayan terutama dari Thailand dan Myanmar akan menganggu periuk nasi nelayan tempatan.
“Mereka ada dekat sana. Sebab kawasan kita ada banyak sumber ikan. Tapi nelayan tempatan kita kurang mahir berlayar ke perairan yang lebih dalam.”
“Kadang-kadang ada orang tempatan miliki kapal besar, tapi mereka tak menggaji orang tempatan. Mereka menggaji orang asing dari Thailand dan Myanmar. Begitulah pencerobohan berlaku. Kita bersaing dengan mereka.”
“Kita mengalami banyak kerugian. Pertama, bila mereka menceroboh perairan kita, bukannya mereka tangkap ikan untuk kita. Mereka bawa balik ke negara mereka. ”
Nelayan tempatan alami kerugian
“Nelayan kita juga kerugian kerana tidak dapat pergi ke laut yang lebih dalam. Bukan sebab tak boleh. Boleh tapi susah. Mereka perlukan teknologi canggih dan biasanya tak ada kemahiran atau sumber.”
Sementera itu, Ketua Pusat dan Felo Kanan di Pusat Keselamatan Maritim dan Diplomasi di Institut Maritim Malaysia (MIMA), Martin A Sebastian, berpendapat kerugian perikanan kepada kapal pukat asing berpunca dari salah urus.
Akibatnya, terdapat peningkatan penangkapan ikan secara haram dan tidak terurus.
“Bila tiada kapal nelayan tempatan, kapal asing warga asing akan masuk. Kita tak ada satelit atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV) untuk ronda kawasan. Kita sebenarnya tak tahu berapa banyak yang kita rugi.”
Akibatnya, nelayan kecil tempatan terlepas keuntungan yang besar. Kebanyakannya semakin miskin. Generasi muda pula hilang minat terhadap industri turun-temurun itu.
Beliau berkata Thailand pengeksport perikanan utama selain menjadi sumber makanan kepada penduduk sendiri, yang seganda lagi ramai dari Malaysia tapi hanya ada laluan ke Laut Andaman dan Teluk Thailand.
“Populasi Malaysia separuh daripada itu, tetapi ada 3 kawasan maritim utama iaitu Selat Melaka, Laut China Selatan, dan Laut Sulu Celebes,” katanya.
Pendapatan RM6 bilion setahun hilang
Namun, katanya, Malaysia masih sukar menjadi pengeksport ikan utama, dan mengimport ikan, dan dilaporkan rugi RM6 bilion nilai perikanan setiap tahun.
Katanya, menurut Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Malaysia mengimport ikan dan produk perikanan bernilai AS$976.6 juta pada 2017.
Beliau berpendapat antara sebabnya ialah tiada strategi atau matlamat yang digariskan untuk industri perikanan dalam ketiga-tiga edisi Dasar Pertanian Negara – yang terbaharu bagi tempoh antara 1998 hingga 2010.
Sebastian mencadangkan Malaysia mengkaji strategi untuk ketiga-tiga jenis aktiviti perikanan – menangkap ikan, marikultur, dan akuakultur.
“Dasar Agromakanan Negara berakhir pada 2020 dan Jabatan Pelan Strategik Perikanan berakhir pada 2020 juga. Kita tak ada ‘Penilaian Stok Ikan’ untuk kawasan maritim kita dan dasar Hasil Mampan Maksimum untuk perikanan…Pelan Tindakan Kebangsaan untuk IUU (NPOU-IUU) juga perlu dikaji semula kerana ia diterbitkan pada 2013.”
Katanya, Malaysia perlu menangani hal perikanan secara holistik sebagai isu makanan, pendapatan, dan keselamatan.
“Barulah kita boleh melindungi sumber maritim kita. Lagi banyak nelayan kita di luar sana, lagi bagus mata-mata dan telinga kita untuk aktiviti penguatkuasaan (di Laut China Selatan).”
Beliau mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Global Fishing Watch, Asean Maritime Transparency Initiative, dan United Nations Office of Drugs and Crime – Global Maritime Crimes Program (UNODC-GMCP) untuk pengawasan yang lebih baik bagi menangani masalah pengurusan dan jenayah di laut.
Di samping itu, beliau mengesyorkan pengkorporatan Jabatan Perikanan untuk perindustrian kawasan maritim Malaysia secara berkesan.
Sebastian, seorang kapten tentera laut bersara, juga menyarankan kaji semula dasar pos kawalan tentera laut dan menukarnya kepada pusat pengurusan perikanan.