Maritim Kelantan tahan 2 bot Vietnam tangkap hasil laut RM3 juta

Maritim Kelantan tahan 2 bot Vietnam tangkap hasil laut RM3 juta

Seramai 23 warga Vietnam ditahan dengan 1,000 kilogram hasil laut serta bekalan diesel 2,500 liter dirampas.

Pengarah Maritim Kelantan Erwan Shah Soahdi bersama antara 23 warga Vietnam yang ditahan dalam operasi di sempadan perairan Malaysia-Vietnam pada Sabtu lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 23 warga Vietnam ditahan Maritim Kelantan kerana disyaki menceroboh perairan negara dan menangkap hasil laut dianggarkan bernilai RM3 juta di muara sungai Tok Bali, Pasir Puteh, Sabtu lepas.

Kesemua tangkapan dilakukan oleh sebuah kapal maritim yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris, kata Pengarah Maritim Kelantan Erwan Shah Soahdi.

Beliau berkata, kedua-dua bot dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 11 pagi sebelum bot pertama berjaya ditahan pada 11.28 pagi, diikuti bot kedua pada 12.14 tengah hari.

Katanya, kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.

“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal maritim bertindak memintas bot dan melakukan ‘force boarding’ untuk menghentikan bot-bot berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, lapor Bernama.

Erwan Shah berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dan kedua – kedua-duanya bot nelayan asing Vietnam – masing-masing mempunyai 18 dan lima kru termasuk tekong berusia antara 16 hingga 55 tahun.

Katanya, proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Kelantan kira-kira 11 malam, Ahad lepas untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Selain dua bot yang ditahan, tangkapan pada kali ini turut melibatkan rampasan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter,” katanya.

Erwan Shah berkata, kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

Selain itu, katanya, dua tekong disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Kesemua kru akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan 09-778 0070.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.