
Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teoh Geok Chuan berkata, bot nelayan berkenaan dikesan berada kira-kira 119 batu nautika dari Tanjung Sirik pada Jumaat lepas.
“Ketika diperiksa, kelima-lima nelayan terbabit yang berumur antara 25 dan 37 tahun gagal mengemukakan pengenalan diri serta kebenaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua nelayan asing terbabit bersama bot mereka ditunda ke jeti penumpang Tanjung Manis dan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan oleh pegawai kesihatan Pelabuhan Tanjung Manis sebaik tiba di jeti itu.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959,” katanya.
APMM kembali melaksanakan kaedah tangkapan ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 24 Jun lepas, setelah mereka mengambil pendekatan pengusiran sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Dalam perkembangan berkaitan, APPM Terengganu menahan 27 nelayan Vietnam dan 2 bot ketika sedang menangkap ikan di perairan negeri itu.
Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot itu ditahan oleh KM Langkawi yang sedang melakukan rondaan Op Khas Naga Barat pada jarak 100 dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.27 malam, semalam.
“Selain nombor pendaftaran dipadam, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot mendapati 27 kru, termasuk tekong warga Vietnam, berusia 18 hingga 50 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
Turut dirampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dan bot tersebut dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 ekoran tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.
“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.